Polis rampas dadah bernilai hampir RM900,000 disorok di apartmen
Siti Nur Aqilla Omar
Ogos 7, 2024 15:40 MYT
Ogos 7, 2024 15:40 MYT
BATU PAHAT: Polis berjaya menumpaskan sindiket pembungkusan dan pengedaran dadah, dengan penahanan tujuh individu dan rampasan dadah bernilai hampir RM900,000 dalam serbuan di sebuah apartmen di bandar Batu Pahat, Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, serbuan itu dilakukan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Batu Pahat pada pukul 7 malam.
Katanya suspek yang ditahan adalah empat lelaki tempatan dan tiga wanita warga asing berusia 21 hingga 38 tahun, bersama-sama sejumlah dadah dianggarkan bernilai RM895,662.
"Dadah yang kita rampas melibatkan 5219.71 gram serbuk ekstasi dianggarkan bernilai RM872,000, 23.17 gram pil ekstasi (RM3,250), 15.41 pil erimin 5 (RM1,120) dan ketamin 96.46 gram (RM19,292).
"Sitaan pula melibatkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) bernilai RM84,800, sebuah motosikal (RM5,550) dan wang tunai (RM2,380) dengan keseluruhannya berjumlah RM92,730.
"Nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan tersebut berjumlah RM988,392. Jumlah rampasan dadah ini bernilai RM895,662 yang boleh digunakan seramai 19,000 penagih," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat di sini hari ini.
Menurut Shahrulanuar Mushaddat, modus operandi sindiket ini adalah dengan menjadikan lokasi serbuan itu sebagai stor simpanan dan tempat pembungkusan semula dadah sebelum mengedarkannya ke pasaran tempatan.
Katanya sindiket ini dipercayai mulai aktif sekitar Julai lalu.
"Kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula 2 hingga 8 Ogos ini untuk siasatan bawah Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,"katanya.