Polis rampas 60 mesin lombong bitcoin, tahan suspek lelaki tempatan

Petrus Bernard
Mac 10, 2021 21:15 MYT
Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM20,000 meliputi 60 unit mesin lombong bitcoin, beberapa peralatan elektrik termasuk beberapa unit modem. - Astro AWANI
TAWAU: Polis merampas 60 unit mesin lombong bitcoin dalam dua serbuan berasingan di Bandar Sri Indah, Tawau, Sabah pada Selasa.
Serbuan pertama dilakukan di sebuah premis rumah kedai pada jam 1.30 petang dan berjaya menemui 20 unit mesin yang sedang beroperasi.
Seorang lelaki tempatan berumur 38 tahun yang merupakan penyewa premis tersebut yang juga menjalankan aktiviti berkenaan, telah ditahan polis.
Susulan serbuan itu, polis turut melakukan serbuan kedua selang 30 minit kemudian di premis berasingan, kira kira 50 meter dari premis pertama dan turut merampas 40 mesin lombong bitcoin.
Bagi kedua-dua premis tersebut, polis terpaksa memecahkan pintu masuk yang terkunci, dipercayai bagi mengaburi mata pihak berkuasa berkaitan aktiviti itu.
Ketua polis daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas dalam satu sidang media di Balai Polis Tawau petang tadi berkata, kejayaan serbuan adalah hasil maklumat dari orang awam yang menyedari aktiviti tersebut.
"Berdasarkan maklumat yang diterima, kita telah membuat operasi bersepadu melibatkan sepasukan pegawai dan anggota polis, Sabah Electricity (SESB) dan pasukan penguat kuasa Majlis Perbandaran Tawau(MPT).
"Apabila kita berjaya memasuki kedua premis berkenaan, didapati semua mesin sedang beroperasi dan masih aktif dan pemeriksaan SESB pada meter elektrik yang ada mendapati terdapat pendawaian haram dan berlaku kecurian elektrik," katanya dalam satu sidang media di sini.
Tambah Peter, nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM20,000 meliputi 60 unit mesin lombong bitcoin, beberapa peralatan elektrik termasuk beberapa unit modem yang kemudiannya dibawa ke balai polis Tawau untuk membantu siasatan.
Akibat tindakan suspek yang membuat penyambungan haram untuk mengelak dari membayar bil elektrik, pihak SESB kerugian RM31,084.
Kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri.
Menurut Peter, Kes rampasan mesin lombong tersebut merupakan kes yang pertama dikesan di sekitar daerah Tawau dan dipercayai ada kaitan dengan rampasan mesin sumpamanya di Sandakan sebelum ini.
#Bitcoin #mesin lombong #bandar sri indah #Tawau #Sabah #polis #PDRM #serbuan polis #Sabah Electricity #Curi Elektrik
;