Polis rampas 41,000kg kelapa cuba diseludup ke negara jiran

Bernama
Oktober 13, 2024 16:41 MYT
Kesemua kelapa itu ditemukan di bahagian belakang treler dan hasil pemeriksaan mendapati buah berkenaan tidak mempunyai dokumen yang sah dipercayai untuk diseludup. - Foto: PGA
KOTA BHARU: Polis menumpaskan kegiatan penyeludupan sebanyak 41,000 kilogram (kg) kelapa yang dianggarkan bernilai RM205,000 selepas menahan sebuah treler di Pengkalan Kubor di Tumpat semalam.
Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am SAC Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata treler itu ditahan dalam satu sekatan jalan raya pada 10.15 malam dan anggota Batalion 9 (PGA9) turut menahan pemandu treler berusia 33 tahun.
Beliau berkata kesemua kelapa itu ditemukan di bahagian belakang treler dan hasil pemeriksaan mendapati buah berkenaan tidak mempunyai dokumen yang sah dipercayai untuk diseludup.
"Suspek dipercayai menjadi penghantar untuk menyeludup kelapa itu ke negara jiran dan kesemua rampasan diserahkan ke Komtak Pengkalan Kubur untuk tindakan lanjut di bawah Peraturan 4(2)(b) Akta Fama 141 Rancangan Pemasaran Kelapa 1973," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Nik Ros Azhan berkata pasukannya turut merekodkan tiga kes rampasan bahan api iaitu dua kes di pangkalan haram Tualang, Tumpat dan Stor Surau Lama, Rantau Panjang pada hari yang sama.
Beliau berkata kesemua petrol itu ditemukan di dalam tangki tambahan pada dua Proton Wira dan empat tong plastik di dalam stor yang keseluruhan berjumlah 820 liter.
"Keseluruhan nilai rampasan termasuk kereta, tangki tambahan dan minyak dianggarkan berjumlah RM25,681 dan diserahkan ke Komtak Pengkalan Kubor dan Balai Polis Rantau Panjang untuk tindakan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.
-- BERNAMA
#kelapa #negara jiran #polis #seludup #PGA
;