Polis rampas 305 set mesin bitcoin bernilai RM610,000 di Hilir Perak
Bernama
Februari 18, 2022 16:19 MYT
Februari 18, 2022 16:19 MYT
IPOH: Polis merampas 305 set mesin bitcoin yang dianggarkan bernilai RM610,000 dalam tiga serbuan berasingan di sekitar daerah Hilir Perak, semalam.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Ahmad Adnan Basri berkata, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak dengan dibantu juruteknik khas Tenaga Nasional Berhad melakukan serbuan di tiga premis berasingan iaitu di Taman Intan Baru, Jalan Kampung Banjar dan Taman Melor Sejati di Teluk Intan serta Medan Niaga Lagenda di Hutan Melintang, Bagan Datuk antara pukul 12 tengah hari dan 1.20 tengah hari semalam.
"Semasa serbuan, pihak polis mendapati kesemua premis tiada penghuni dan ditinggalkan kosong. Hanya peralatan bitcoin dijumpai di setiap premis yang diserbu pihak polis.
"Serbuan dilakukan ke atas premis terbabit kerana disyaki terlibat dengan kegiatan mencuri arus elektrik serta merampas 305 mesin bitcoin dan beberapa peralatan dan server bitcoin," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ahmad Adnan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 37(3)(e) Akta Bekalan Elektrik 1990.
Beliau berkata pihaknya akan meneruskan operasi bersama pihak TNB dalam usaha mengekang kecurian arus elektrik dari terus berlaku yang menyebabkan kerugian besar kepada kerajaan dan TNB.
-- BERNAMA