Polis rampas 21kg dadah, tahan lima lelaki

Abd Razak Mohd Ali
Oktober 14, 2024 11:40 MYT
Azizi (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Chui Chak, Hilir Perak. - Astro AWANI
IPOH: Polis Perak berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah di sekitar Hilir Perak dengan penahanan lima lelaki dan merampas lebih 21 kilogram dadah dalam serbuan di sebuah rumah di Chui Chak, Hilir Perak pada Khamis.
Ketua Polis Perak, Datuk AziziMat Aris berkata, kesemua suspek yang berumur 30 hingga 47 tahun itu mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau di samping positif dadah jenis Methamphetamine.
Menurutnya, dalam serbuan kira-kira jam 8 malam itu, polis menjumpai empat paket plastik lutsinar berisi bahan disyaki Heroin seberat 4.21 gram, empat paket disyaki Methamphetamine seberat 3.12 gram dan 13 bungkusan lutsinar mengandungi ketulan kristal disyaki Methamphetamine dengan anggaran berat 21,863 gram.
"Berdasarkan siasatan yang dijalankan, sindiket ini dipercayai mula aktif dalam aktiviti pengedar dadah pada September 2024.
"Dadah yang dirampas disyaki untuk diedarkan di pasaran tempatan dan sekitar negeri Perak. Dianggarkan jumlah dadah yang dirampas ini boleh digunakan untuk seramai 218,664 orang penagih dadah," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di Ipoh pada Isnin.
Ujarnya lagi kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan suspek direman selama tujuh hari mulai 11 Oktober 2024 sehingga 17 Oktober 2024 bagi membantu siasatan.
Menurutnya, keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan lebih RM787,000 di samping sebuah kereta dan sebuah motosikal dianggarkan bernilai RM26,000.
#sindiket pengedaran dadah #Azizi Mat Aris #methamphetamine #reman
;