Polis rakam percakapan Tun M hari ini - KPN
Israr Khalid
Februari 24, 2016 12:57 MYT
Februari 24, 2016 12:57 MYT
Polis Diraja Malaysia (PDRM) merakam keterangan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berhubung laporan terhadap kandungan laman blognya yang didakwa memiliki unsur fitnah terhadap Peguam Negara, Tan Sri Mohamad Apandi Ali.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar memaklumkan, ia perlu dibuat kerana beberapa laporan polis telah dibuat dan siasatan perlu dijalankan.
"Kita merakam percakapan beliau berkenaan apa yang beliau tulis dalam blognya.
"Kami telah terima beberapa laporan polis, jadi pihak polis terpaksa menjalankan siasatan.
"Tempat pertemuan telahpun diatur, dipilih oleh Tun sendiri. Bukan di Bukit Aman. Saya rasa ia sedang berlangsung sekarang," katanya dalam sidang media selepas majlis pemakaian pangkat kepada 44 orang pegawai kanan yang dinaikkan pangkat di Mess Pegawai Kanan Bukit Aman.
Ketika ditanya sama ada ia diadakan di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya, jawab Khalid "Ya, saya rasa mungkin di sana."
Dalam entrinya di blog chedet.cc bertarikh 5 Februari bertajuk 'Malaysia's Shame', Dr Mahathir membuat dakwaan bahawa Mohamed Ali pasti tidak akan mendakwa Razak Baginda berhubung isu pembelian kapal selam dari syarikat Perancis, kerana ia kononnya mungkin akan membawa kepada perkaitan nama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.