Polis rakam lapan keterangan berkaitan kes keracunan makanan di Gombak

Bernama
Jun 12, 2024 05:36 MYT
Noor Ariffin berkata polis sedang mengenal pasti individu lain yang mengalami keracunan makanan akibat menjamah makanan pada program yang dianjurkan di sekolah agama berkenaan. - Gambar fail/FB D6 IPD Gombak
KUALA LUMPUR: Polis telah merakam keterangan lapan individu dalam siasatan kes kematian seorang remaja lelaki berusaha 17 tahun dan seorang kanak-kanak perempuan berumur dua tahun yang disyaki akibat keracunan makanan Isnin lepas.
Ketua Polis Daerah Gombak ACP Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata ia melibatkan keterangan daripada keluarga remaja dan kanak-kanak berkenaan, serta pembekal makanan kepada sekolah agama terlibat di Gombak, sejak hari kejadian.
Beliau berkata polis juga sedang mengenal pasti individu lain yang mengalami keracunan makanan akibat menjamah makanan pada program yang dianjurkan di sekolah agama berkenaan.
"Pihak polis juga akan memanggil pihak penganjur program, pengetua sekolah dan lain-lain individu yang terlibat dalam penyediaan makanan berkenaan dalam masa terdekat," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor Dr Ummi Kalthom Shamsudin dalam kenyataannya semalam memaklumkan 82 individu yang hadir pada program berkenaan mengalami gejala berkaitan keracunan makanan.
-- BERNAMA
#polis rakam keterangan #keracunan makanan #sekolah agama #Gombak #Noor Ariffin Mohamad Nasir