Polis rakam keterangan Mohammad Agus esok - KPN

Sinar Harian
November 19, 2023 16:56 MYT
Mohammad Agus akan dipanggil sekali lagi untuk dirakam keterangan pada Isnin, susulan video perbualan miripnya dengan seorang kakitangan J-KOM yang tular. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Mohammad Agus Yusoff akan dipanggil sekali lagi untuk dirakam keterangan pada Isnin, susulan video perbualan miripnya dengan seorang kakitangan J-KOM yang tular.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, selain Mohammad Agus, beberapa individu lain akan dipanggil bagi membantu siasatan dalam masa terdekat.
"Kita akan merakam keterangan Mohammad Agus pada esok, manakala Penolong pegawai J-KOM, Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani akan dipanggil dalam tempoh terdekat.
"Terdapat individu lain dijangka akan dipanggil bagi membantu siasatan," katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Beliau berkata, polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti individu bergelar 'Mr H' yang dikaitkan dengan kes berkenaan.
Sebelum ini, tular menerusi media sosial video berdurasi tiga minit memaparkan perbualan secara dalam talian antara lelaki didakwa mirip Mohammad Agus dengan seorang individu lain.
Mohammad Agus pada sidang medianya di sebuah hotel di Bangi, mendakwa video itu disunting dan telah membuat laporan polis berhubung perkara berkenaan.
*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian
#Ketua Pengarah J-KOM #Mohammad Agus Yusoff #Razarudin Husain #Ketua Polis Negara #ambil keterangan #video tular
;