Polis punyai bukti untuk hantar pulang Arif Komis, keluarga - Tun Mahathir

Firdaus Azil
Ogos 30, 2019 20:41 MYT
Komis yang bekerja di sebuah sekolah antarabangsa dikaitkan dengan Gulen, ditahan polis Malaysia pada 28 Ogos lalu.
Polis mempunyai bukti kukuh untuk menahan dan menghantar pulang seorang guru sekolah Turki, Arif Komis, 43, bersama isteri dan empat anaknya atas dakwaan terbabit dalam satu gerakan yang dilabelkan Ankara sebagai 'pengganas', hanya dua bulan selepas mereka diberikan perlindungan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau hanya dimaklumkan berhubung perkara tersebut pagi tadi, namun enggan mengulas lanjut.
"Tindakan itu diambil oleh pihak polis. Mereka (polis) mempunyai bukti yang menyebabkan mereka berpendapat mereka ini (keluarga Arif Komis) tidak harus ada dalam negara," jawabnya pada sidang media di sini pada Jumaat.
Beliau sebelum itu mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Yayasan Al-Bukhary di ibu negara pada Jumaat.
Difahamkan, kerajaan Turki turut mendakwa Komis terbabit dalam kumpulan Gulen, sebuah gerakan sosial berasaskan kepercayaan yang diilhamkan ajaran pendakwah Islam dari Turki dan hidup dalam buangan, Fethullah Gulen.
Komis yang bekerja di sebuah sekolah antarabangsa dikaitkan dengan Gulen, ditahan polis Malaysia pada 28 Ogos lalu.
Dalam respons di Twitter, jurucakap Human Rights Watch Asia, Phil Robertson mengkritik Putrajaya melanggar hak asasi pemohon suaka.
#Arif Komis #Islam #Mahathir Mohamad #PBB #Perdana Menteri #Turki #Twitter
;