Polis Pulau Pinang lancar Ops Sayang III

Bernama
Februari 27, 2013 11:59 MYT
Polis Pulau Pinang akan melancarkan Ops Sayang III bagi mengesan beberapa lagi sindiket penjualan bayi dan kanak-kanak yang aktif di sekitar negeri ini.
Ketua Polis negeri Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata pihaknya mengenal pasti sindiket terbabit tetapi tidak boleh mendedahkannya kerana bimbang akan mengganggu siasatan polis.
"Susulan Ops Sayang I dan II, kita akan lancar Ops Sayang III kerana polis telah kenal pasti sindiket lain yang dipercayai turut terlibat menjual bayi dan kanak-kanak," katanya.
Beliau berkata pemberita selepas merasmikan Program Polis dan Komuniti Seberang Perai Selatan (SPS) Bersama Membanteras Jenayah di Balai Polis Tasek Mutiara, Simpang Ampat dekat sini malam tadi.
Abdul Rahim berkata pihaknya kini sedang mengumpul maklumat dan mengadakan risikan tentang sindiket terbabit.
Sementara itu, Abdul Rahim berkata lapan individu yang ditahan sejak Sabtu lepas dibebaskan hari ini berikutan tempoh tahanan reman mereka sudah tamat.
Beliau berkata pihaknya merekodkan keterangan daripada lima wanita dan tiga lelaki berusia antara 28 dan 50 tahun itu dan mereka dibebaskan dengan jaminan mahkamah mengikut Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah.
Ahad lepas, akhbar melaporkan 22 bayi dan kanak-kanak yang menjadi mangsa sindiket pemerdagangan orang berjaya diselamatkan di Selangor, Johor, Perak, Kuala Lumpur, Pahang, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.
Menerusi Ops Sayang II itu, polis Pulau Pinang berjaya membongkar dan menahan 45 orang termasuk seorang wanita berusia lingkungan 50-an yang juga dalang sindiket berkenaan.
#jual bayi #Ops Sayang III #sindiket
;