Polis Pulau Pinang buka 146 kertas siasatan tatatertib
Bernama
Januari 6, 2023 12:10 MYT
Januari 6, 2023 12:10 MYT
GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang membuka 146 kertas siasatan tatatertib (KST) sepanjang tahun lepas iaitu penurunan sebanyak 15 peratus atau 171 kes yang direkodkan pada 2021.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata KST itu membabitkan 23 pegawai, 200 anggota dan seorang pegawai awam yang bertugas di Polis Diraja Malaysia (PDRM) negeri itu.
"Daripada jumlah itu, 92 orang telah dijatuhi hukuman manakala 15 orang dibebaskan termasuk menerima surat teguran atau nasihat dan 52 orang tiada tindakan lanjut (NFA), 49 orang dalam tempoh menjawab representasi serta menunggu keputusan dan selebihnya 16 orang masih dalam siasatan tatatertib.
"Sepanjang tahun lepas juga, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Pulau Pinang (JIPS) telah berjaya menyelesaikan 132 kertas siasatan dan seramai 21 pegawai dan anggota polis telah ditahan kerja, enam orang digantung kerja serta 12 lagi dibuang kerja," katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan PDRM Pulau Pinang di Pasukan Polis Marin (PPM) Batu Uban, di sini hari ini.
Beliau berkata jumlah KST itu menunjukkan trend yang baik hasil inisiatif yang dijalankan oleh pihak JIPS termasuk kekerapan pemeriksaan pematuhan, latihan medan melibatkan kawad tambahan, kawalan tambahan, audit jabatan, sesi perjumpaan dan siasatan tatatertib yang telus tanpa prejudis.
Sementara itu, Mohd Shuhaily berkata pihaknya akan menjalankan tindakan penguatkuasaan trafik secara menyeluruh membabitkan undang-undang dan peraturan asas jalan raya bagi membendung salah laku pengguna jalan raya.
Katanya, penguatkuasaan itu dijalankan membabitkan lima fasa iaitu pertama membabitkan semua pegawai, anggota dan ahli keluarga PDRM Pulau Pinang agar patuh kepada undang-undang lalu lintas, serta memberi advokasi melalui penerangan dari segi implikasi keselamatan serta permatuhan dengan menggunakan kaedah menahan pengguna jalan raya dan menerangkan kesalahan mereka.
"Seterusnya tiga lagi fasa melibatkan tindakan pengeluaran saman akan diambil terhadap pesalah trafik, tangkap atau sita mengikut kesalahan yang dilakukan dan selepas tindakan diambil, polis akan meninjau keberkesanan tindakan penguatkuasaan yang telah dilaksanakan," katanya.
Dalam pada itu, Mohd Shuhaily berkata pihaknya telah menjalankan 159 operasi samseng jalanan dengan jumlah tangkapan sebanyak 108 orang sepanjang tahun lepas dan kesemua mereka telah didakwa menurut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Menurutnya sepanjang tempoh sama, pihaknya telah menjalankan 126 operasi mabuk dan seramai 220 orang ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah manakala sebanyak 1,079 kenderaan disita menurut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Sejumlah 422,177 saman telah dikeluarkan sepanjang tahun lepas berbanding 377,457 saman pada 2021, sebanyak 35,897 telah dijelaskan pada 2022 dengan jumlah kutipan bernilai RM7.5 juta berbanding 183,964 saman membabitkan RM15.10 juta pada tahun sebelumnya," katanya.
-- BERNAMA