Polis PJ guna dron pantau pematuhan SOP PPN Fasa 4

Astro Awani
Februari 1, 2022 08:30 MYT
Dalam operasi malam tadi sejumlah 361 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik. - Astro AWANI
PETALING JAYA: Polis Petaling Jaya akan menggunakan khidmat Pasukan Unit Dron, Pasukan Gerakan Udara, Bukit Aan bagi memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4 bermula hari ini.
Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Tuan Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, operasi dilancarkan secara bersepadu dengan menubuhkan empat pasukan disertai bersama pelbagai agensi penguatkuasaan lain antaranya Majlis Bandaraya Petaling Jaya dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Ia sebagai usaha membantu dalam pemantauan SOP sambutan Tahun Baru Cina seperti aktiviti rumah terbuka dan keramaian.
"Kita ada lebih kurang 15 anggota trafik yang menggunakan peralatan ini bagi mengesan pemandu yang membawa kenderaan dalam keadaan mabuk dan sebagainya.
"Selain itu untuk sambutan Tahun Baru Cina, kami menyediakan empat pasukan yang terdiri daripada anggota dan pegawai IPD PJ berkolaborasi bersama pasukan dron daripada PGU dan juga PBT iaitu MBPJ serta KDN," katanya.
Belia ditemui ketika operasi sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Utara Petaling Jaya malam tadi.
Katanya, kira-kira 223 pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya dikerahkan ke pelbagai operasi pemantauan dan pemeriksaan pencegahan jenayah dalam Op Selamat Tahun Baru Cina kali ini.
Operasi ini memfokuskan kepada pemeriksaan di pusat hiburan yang tidak mematuhi SOP PPN Fasa 4.
Selain itu, sekatan jalan raya pula dilakukan bagi mengesan pemandu pemandu mabuk, kesalahan undang-undang serta memburu orang yang dikehendaki polis.
Rondaan berkala di kawasan taman perumahan, sektor industri serta perkilangan turut dilakukan bagi memastikan kawasan terbabit selamat.
Polis juga melakukan pemantauan di lokasi panas yang dikenal pasti menjadi sarang penagihan melalui Op Narkotik.
Kesemua langkah ini adalah salah satu bahagian dalam Op Selamat yang dilancarkan pada 24 Januari hingga 5 Februari ini.
Untuk rekod, sejumlah 107 tangkapan telah dilakukan sepanjang Op Mabuk pada tahun lalu.
Bagi tahun ini sehingga Ahad, sejumlah 36 individu telah ditahan atas kesalahan itu.
Dalam operasi malam tadi, sejumlah 801 kenderaan pelbagai jenis dan 920 individu diperiksa.
361 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik.
Polis turut juga menahan lapan individu atas kesalahan jenayah.
Dalam operasi Op Narkotik pula, polis berjaya merampas 3 liter air ketum, 1.15 kilogram ketulan mampat daun kering disyaki ganja, satu bungkusan berisi syabu seberat 3 gram, 14 biji pil ecstacy, 10 biji pil eramin 5 dan 7 paket heroin seberat 9 gram.
#dron #pasukan gerakan udara #PPN #Op Selamat
;