Polis, pihak berkuasa agama sediakan syor tangani usaha hidupkan semula fahaman GISB

Bernama
Oktober 10, 2024 21:37 MYT
Mohd Shuhaily berkata siasatan GISB merupakan keutamaan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman sejak sebulan lepas membabitkan kekuatan anggota serta pegawai hampir keseluruhan jabatan itu. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia akan bekerjasama dengan pihak berkuasa agama dan agensi berkaitan bagi memastikan ajaran serta fahaman dibawa GISB Holdings Sdn Bhd (GISB) tidak dihidupkan semula.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata perbincangan dengan kerjasama pelbagai agensi antaranya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan menyediakan cadangan kepada kerajaan untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata siasatan membabitkan GISB ini lebih besar dan bukan sahaja melibatkan kefahaman serta ideologi semata-mata.
"Ia melibatkan lebih daripada kefahaman dan ideologi, mereka ini mengamalkan sosio budaya dan ekonomi mereka sendiri.
"Oleh itu, kerjasama dengan semua agensi yang terbabit diperlukan dan kita serahkan kepada kerajaan dengan syor diberikan berkaitan keperluan pendekatan pemulihan holistik, tidak hanya kepada kefahaman," katanya pada sidang media Op Global di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur di sini hari ini.
Mohd Shuhaily berkata siasatan GISB merupakan keutamaan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman sejak sebulan lepas membabitkan kekuatan anggota serta pegawai hampir keseluruhan jabatan itu.
Beliau berkata pasukan siasatan kini dikecilkan kerana terdapat kes lain yang perlu diberi perhatian.
"Saya telah berbincang dengan pegawai-pegawai dan kita perlu percepatkan (siasatan) kerana banyak lagi keutamaan (kes) lain.
"Sekiranya semuanya (siasatan membabitkan GISB) berjalan lancar dan ada tangkapan susulan daripada hasil soal siasat sekali gus membawa kepada pendakwaan," katanya.
-- BERNAMA
#GISB #pihak berkuasa agama #Mohd Shuhaily Mohd Zain #Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman
;