Polis peronda maut kemalangan di Lebuhraya DUKE

Hakim Rahman
November 12, 2015 15:52 MYT
Suhaimi meninggal dunia sebaik sahaja tiba di Hospital Selayang akibat kecederaan parah di bahagian badan. -Foto Astro AWANI / ABDUL HAKIM RAHMAN
Seorang anggota polis peronda lebuh raya maut selepas kenderaan dinaikinya merempuh penghadang jalan di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) di sini.
Mangsa, Lans Koperal Suhaimi Che Morat, 32, meninggal dunia sebaik sahaja tiba di Hospital Selayang akibat kecederaan parah di bahagian badan.
Ketua Polis Daerah Gombak ACP Ali Ahmad berkata ketika kejadian mangsa sedang memandu seorang diri ke tempat kerjanya kira-kira jam 11 malam Rabu.
"Ketika menghampiri susur keluar Lebuhraya DUKE menghala ke Lebuhraya Karak, kereta peronda Mitsubishi Lancer yang dipandu mangsa hilang kawalan.
"Akibatnya kenderaan dipandu terbabas ke kanan jalan sebelum melanggar tiang konkrit jalan," katanya.
Tambahnya, mangsa berjaya dikeluarkan daripada kenderaan namun disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 4.40 pagi.
Dalam pada itu, beliau menafikan laporan bahawa mangsa terlibat dalam kemalangan kerana berkejar ke lokasi kejadian banjir lumpur di KM52.4 Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak.
"Mangsa sebenarnya dalam perjalanan ke tempat kerjanya berhampiran dengan Plaza Tol Gombak," katanya.
Jenazah Suhaimi dihantar ke kampungnya di Jitra, Kedah untuk dikebumikan.
Allahyarham meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak perempuan.
#hilang kawalan #Lebuhraya Karak #polis peronda #Suhaimi Che Morat