Polis perlu sihat tubuh badan untuk jalankan tugas

Bernama
Disember 4, 2012 13:17 MYT
Anggota polis tanpa mengira usia perlu berada dalam keadaan sihat dan bebas daripada penyakit kronik bagi membolehkan mereka melaksanakan tugas, yang melibatkan undang-undang dan peraturan, dengan lebih cemerlang.
Justeru, Komandan Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur, SAC Zulkifli Mohamad berkata setiap anggota wajar mematuhi Program Gaya Hidup Sihat yang dirangka khas untuk pasukan berkenaan.
Ini bertujuan bagi memastikan mereka berada dalam keadaan fizikal yang baik untuk menjalankan tugas.
Beliau berkata program itu dilancarkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar pada Mac lepas dengan mengedar buku rekod kesihatan kepada anggotanya supaya mereka boleh mengemas kini dan merekod tahap kesihatan setiap bulan.
Stastistik menunjukkan bahawa pada 2010, terdapat 657 kes berhubung dengan penyakit jantung dan 111 kematian.
Zulkifli menegaskan bahawa berbadan gempal dan gemuk boleh menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap kemampuan pasukan itu melaksanakan tugas mencegah jenayah.
Tugasan polis tidak hanya mencegah jenayah dengan menangkap penjahat malah setiap anggota polis perlu memastikan tubuh mereka tegap bagi meyakinkan masyarakat yang mereka mampu melaksanakan tugas diamanahkan.
Penampilan menarik adalah sesuatu yang dipandang bergaya, apatah lagi jika penampilan itu disesuaikan dengan ketegapan tubuh badan seseorang.
"Walaupun pihak pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak mengetatkan undang-undang penjagaan tubuh namun tanggungjawab itu harus disedari oleh ketua-ketua bahagian serta anggota itu sendiri supaya apabila mereka segak bergaya automatik ia akan meningkatkan keyakinan masyarakat tentang penugasan mereka," katanya kepada Bernama.
Beliau berpendapat kekangan tugasan antara sebab anggota polis tidak dapat melakukan senaman bagi mengekalkan stamina.
Zulkifli berkata tahap ideal polis adalah mengikut syarat pengambilan anggota iaitu mereka harus mempunyai tinggi minimum bagi lelaki 163 sentimeter dan perempuan 157 sentimeter.
Manakala berat badan untuk polis dibahagikan kepada tiga jenis rangka iaitu rangka kecil, sederhana dan besar, katanya. Untuk lelaki, kecil (berat 50-54kg), sederhana (53-58kg) dan besar (57-64kg)
manakala untuk wanita kecil (47.6-51.3kg), sederhana (44.9-55.3kg) dan besar (53.5-60.8kg), katanya.
Selain itu para anggota dan pegawai harus menjalani ujian fizikal untuk kelayakan kenaikan pangkat dan ujian itu berbeza mengikut umur.
Manakala Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Tan Sri Lee Lam Thye, berpendapat obesiti bukan hanya melibatkan anggota polis sahaja malahan agensi lain.
"Mana-mana agensi berkenaan tidak harus memandang remeh terhadap isu obes kerana ia suatu perkara serius dan harus dijaga. Jika mereka menghadapi isu ini mereka perlu rujuk kepada pakar perubatan kerana jika tidak akan menjejaskan prestasi kerjaya mereka," katanya.
Presiden Persatuan Pengusaha Teksi dan Kereta Sewa Wilayah Persekutuan dan Selangor, Datuk Aslah Abdullah berkata anggota polis yang melebihi had berat badan tertentu harus mengurangkan berat badan agar tidak timbul keraguan masyarakat kepada tugas harian mereka.
"Saya menyarankan kepada pegawai atasan polis agar membuat satu kelas kesihatan kepada anggota dan bersenam sekurang-kurangnya dua kali seminggu," katanya.
Aslah menyarankan jika mereka enggan mengurangkan berat badan harus dikenakan tindakan tatatertib.
Sementara itu seorang penulis buku kecergasan diri, penceramah awam dan pengacara televisyen, Kevin Zahri Abdul Ghaffar berpendapat bila umur sudah meningkat BMI (Body Mass Index) hanya diperlukan sebagai panduan dalam penjagaan pemakanan.
"Berat yang ideal bukan bergantung kepada BMI seseorang tetapi keselesaan serta kesihatan dirinya sendiri," katanya.
Kevin berkata ini kerana semakin meningkat umur seseorang itu, lemak di bahagian badan terutama bahagian abdomen (perut) semakin bertambah.
#Ketua Polis Negara #polis #Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur #Tan Sri Ismail Omar #Zulkifli Mohamad
;