Polis perlu patuh BMI tertentu untuk naik pangkat

Sharom Abu Bakar
Februari 4, 2017 17:29 MYT
Pematuhan terhadap BMI ang ditetapkan bakal disenaraikan sebagai antara syarat wajib untuk kenaikan pangkat warga PDRM bermula tahun 2018. - Gambar hiasan
Pematuhan terhadap standard berat badan unggul (BMI) yang ditetapkan bakal disenaraikan sebagai antara syarat wajib untuk kenaikan pangkat bagi warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) bermula tahun 2018.
Timbalan Pengarah Pengurusan ( Latihan ) PDRM, Datuk Narenasagaran Thangavelo berkata , langkah berkenaan bertujuan memastikan kesemua anggota berada dalam keadaan cergas untuk menjalankan sebarang tugasan.
“PDRM akan mewajibkan kepada semua anggotanya menjalani ujian kecergasan fizikal untuk memastikan mereka mematuhi standard yang ditetapkan.
“Keterampilan pegawai itu mesti orang yang segak, orang kata boleh kejar penjenayah dan ia untuk kesihatan diri, bila sudah berumur, mungkin ada penyakit,” katanya.
Narenasagaran berkata demikian selepas Program Tamat Latihan Kursus Asas Konstabel Sokongan Siri 2/2016 di Pusat Latihan Polis (Pulapol), Dungun pada Sabtu.
Beliau berkata, pendekatan yang dilaksanakan PDRM adalah susulan saranan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang mahu semua warga PDRM membudayakan penjagaan kesihatan yang menjurus ke arah peningkatkan mutu perkhidmatan.
Menurutnya, anggota serta pegawai yang berketerampilan menarik serta sihat tubuh badan adalah elemen yang mampu meningkatkan keyakinan serta imej PDRM di kalangan masyarakat.
Sehubungan itu jelasnya, pihaknya akan mengadakan siri penerangan dalam aspek penjagaan kesihatan dan pemakanan secara saintifik kepada kesemua anggotanya di samping menggalakkan warganya untuk melakukan aktiviti kecergasan di gimnasium.
#BMI #Datuk Narenasagaran Thangavelo #PDRM #PULAPOL
;