Polis perlu bersukan tingkat kecergasan anggota - KPN
Bernama
Januari 31, 2016 22:56 MYT
Januari 31, 2016 22:56 MYT
Semua kontinjen dan formasi polis digesa menjalankan aktiviti sukan bagi melahirkan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang sihat, cergas dan produktif.
Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata aktiviti sukan sangat penting untuk meningkatkan kecergasan dan kesihatan anggota agar mereka dapat memberi sumbangan kepada kesejahteraan sosial serta pembangunan ekonomi negara.
"Aktiviti sukan penting dalam mengoptimumkan keupayaan fizikal anggota polis bertepatan dengan ungkapan 'minda yang cerdas terletak pada tubuh badan yang sihat'.
"Dengan aktif bersukan, anggota polis dapat memperbaiki Indeks Jirim Badan yang kini menjadi syarat kenaikan pangkat dan pengesahan jawatan," katanya pada Majlis Penutup Kejohanan Badminton Piala KPN di Kolej Bersekutu Sains Sultan Azlan Shah di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff. Hadir sama Ketua Polis Perak Datuk Osman Salleh.
Khalid berkata Majlis Sukan PDRM telah merangka pelbagai aktiviti sukan agar anggotanya dapat mengamalkan gaya hidup sihat dan aktif.
Katanya antara program kesihatan yang telah dirangka ialah 'Trim and Fit' dan 'Jom Guna Tangga' yang telah bermula di peringkat Ibu Pejabat PDRM, Bukit Aman.
Kontinjen Sarawak muncul juara keseluruhan manakala tempat kedua dimenangi kontinjen Johor.
Sebanyak 18 kontinjen dari seluruh negara menyertai kejohanan yang berlangsung selama lima hari yang berakhir hari ini.