Polis Perlis guna water barrier di 'laluan tikus', jaga keselamatan penduduk
Adie Sufian Zulkefli
Jun 1, 2021 11:49 MYT
Jun 1, 2021 11:49 MYT
KANGAR: Di dalam mengawal lalu lintas serta memastikan tiada individu yang lolos Sekatan Jalan Raya (SJR), polis tetap memastikan keselamatan penduduk termasuk mereka yang mungkin cuba menggunakan laluan yang ditutup di kawasan sempadan.
Ketua Polis Daerah Kangar Supt Wari Kiew berkata, pihaknya mengambil inisiatif mengguna hadangan air atau 'water barrier' berbanding ‘concrete barrier’ di beberapa 'laluan tikus' di sempadan Perlis-Kedah.
Katanya, penggunaan hadangan plastik bertujuan mengelakkan kemalangan yang berlaku akibat rempuhan penunggang motosikal yang mungkin tidak nampak hadangan yang diletakkan.
"Water barrier ini ada pencahayaan. Apabila waktu malam, ada pemantul cahaya. Mereka (penduduk) boleh nampak cahaya sebelum sampai.
"Jadi, kalau berlaku perlanggaran, tidak ada kesan yang kuat, atau impak yang teruk, kepada kenderaan dan manusia," katanya.
Sementara itu, Wari Kiew memaklumkan, hari pertama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 pihaknya mengesan lima laluan tikus di kawasan sempadan Kuala Sanglang, Perlis.
Lorong-lorong tersebut dipercayai menjadi laluan haram segelintir individu yang cuba merentas negeri terutamanya ketika sekatan pergerakan penuh dikuat kuasakan bermula hari ini.
Jelasnya, lorong tersebut dikenal pasti sebagai jalan alternatif untuk masuk ke Perlis menerusi Kuala Sanglang.
Pemerhatian pihaknya mendapati, terdapat individu yang cuba merentas negeri menggunakan laluan berkenaan untuk mengelak SJR di Kilometer 17 Jalan Alor Setar-Kangar di Sanglang.
Wari Kiew menjelaskan, sepanjang tempoh 14 hari PKP 3.0, semua laluan masuk ke Perlis dari Kedah adalah di bawah kendalian dan pemantauan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar.
Katanya, sesiapa yang didapati cuba memasuki negeri ini tanpa kebenaran atau surat dari polis, akan dikompaun dan diarahkan berpatah balik.
#polis
#Sekatan Jalan Raya
#hadangan air
#water barrier
#laluan tikus
#Kangar
#Perlis
#Kedah
#kemalangan
#perintah kawalan pergerakan
#PKP Penuh
#sekatan pergerakan penuh
#PKP 3 0
#SJR
#PKP
#Sanglang
#pemantul cahaya
#Wari Kiew