Polis Perlis berjaya selesai 262 kes jenayah indeks bagi tempoh Januari hingga Oktober
Bernama
November 1, 2024 22:00 MYT
November 1, 2024 22:00 MYT
KANGAR: Polis Perlis berjaya menyelesaikan 262 kes jenayah indeks daripada 290 kes yang direkodkan bagi tempoh Januari hingga Oktober, kata Ketua Polis Perlis Datuk Muhammad Abdul Halim.
Beliau berkata kes selesai itu bermaksud telah dituduh di mahkamah dan angka berkenaan menunjukkan kira-kira 90 peratus kes jenayah indeks dapat diselesaikan sebelum tahun ini berakhir.
"Kebanyakan kes jenayah di Perlis ini kita dapat tangani dalam tempoh 24 jam (iaitu) bermakna bila ada laporan, dengan tindakan cepat di pihak Jabatan Siasatan Jenayah dan lain-lain jabatan berkaitan, tertuduh dapat dikesan dan ditangkap untuk proses pertuduhan.
"Ini menunjukkan komitmen yang diberikan pegawai dan anggota cukup baik ... ini belum habis tahun lagi, kes dah selesai 90 peratus, jadi saya berharap kesemua kes jenayah indeks ini dapat diselesaikan pada tahun ini," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi penemuan bersama media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis di sini hari ini sempena tempoh setahun perkhidmatan sebagai Ketua Polis Perlis. Untuk rekod, Muhammad dilantik menjadi Ketua Polis Perlis berkuat kuasa 1 Nov 2023.
Muhammad berkata pelbagai jenis kes curi ialah jenayah indeks tertinggi direkodkan bagi tempoh Januari hingga Oktober, merekodkan sebanyak 125 kes dan daripada jumlah ini 118 kes berjaya diselesaikan.
Dalam pada itu, beliau mencadangkan pembinaan tembok di kawasan garis sempadan di Perlis bagi menggantikan pagar-pagar lama yang telah berusia lebih 30 tahun dalam usaha memastikan kawalan pihak berkuasa mengekang sebarang kegiatan penyeludupan di sempadan negara lebih berkesan.
Beliau berpandangan tembok itu perlu dibina mengikut ketinggian bersesuaian di lokasi yang dikenal pasti di kawasan sempadan berkenaan yang boleh menempatkan sistem pemantauan yang dilengkapi dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan kamera litar tertutup (CCTV).
"Kekuatan PGA (Pasukan Gerakan Am) secara fizikal ini kita boleh alihkan ke lokasi hot spot atau tumpukan ke lokasi lain, sekarang ini PGA terpaksa kawal dengan kekuatan mereka ada sepanjang 106 kilometer (panjang garis sempadan Perlis) termasuk rondaan berjalan kaki di kawasan tidak berpagar, kawasan tidak berpagar anggaran 45 kilometer (km) daripada 106 km ini," katanya.
Beliau berkata pendatang tanpa izin masih boleh membolosi negara ini melalui pagar yang dirosakkan namun tindakan cekap PGA membanteras pergerakan pendatang asing itu menyebabkan kes semakin berkurangan meskipun terdapat kawasan tumpuan.
"Saya mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada pihak PGA, sepanjang pemerhatian saya selama setahun di sini, mendapati komitmen PGA di sempadan telah menghasilkan banyak kejayaan, dan banyak kes pembolosan sempadan, pintu pagar atau pagar yang ditebuk (dirosakkan) berjaya ditangani," katanya.
-- BERNAMA