Polis Perlis berjaya rampas 56kg ganja mampat bernilai RM173,600
Adie Sufian Zulkefli
April 1, 2024 15:33 MYT
April 1, 2024 15:33 MYT
KANGAR: Polis Perlis berjaya merampas 56 bungkusan disyaki ketulan mampat dadah jenis ganja dalam tiga guni yang dianggarkan bernilai RM173,600 di tempat duduk penumpang belakang sebuah kereta Honda City di Bukit Chabang, Kangar pada 28 Mac lalu.
Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, kejadian bermula sekitar jam 7.30 pagi apabila pemantauan Pasukan Gerakan Am (PGA) mengesan dua lelaki yang mencurigakan di laluan keselamatan Padang Besar berhampiran Kampung Kolam di Padang Besar.
“Lokasi berkenaan adalah sebuah jalan sempadan pagar keselamatan Maysia-Thailand bersebelahan dengan Pekan Padang Besar, Thailand.
"Semasa pemantauan dilakukan, terdapat individu tertentu sedang membawa masuk suatu bungkusan ke dalam kereta di mana dipercayai baharu sahaja dibaling dari arah negara jiran itu.
“Sepasukan anggota PGA yang membuat risikan di lokasi berkenaan kemudian mendapati kereta itu sudah pun bergerak keluar dari kawasan tersebut dengan agak laju menyebabkan anggota kita gagal mengesan pergerakan kereta berkenaan.
“Namun begitu, sekitar jam 8.50 pagi, unit kereta peronda dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar menerima maklumat orang ramai berhubung keberadaan misteri sebuah kereta jenis Honda City yang mencurigakan di kawasan itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis pada Isnin.
Katanya, anggota polis yang berada di lokasi itu kemudian melakukan pemeriksaan dan menemukan tiga guni diletakkan di tempat duduk belakang penumpang kereta itu.
“Ketika ditemui, kereta itu sudah pun ditinggalkan oleh suspek dan pemeriksaan selanjutnya mendapati terdapat 56 bungkusan ketulan mampat disyaki dadah jenis ganja dengan berat 56 kilogram.
“Kita percaya penemuan ganja ini mempunyai kaitan dengan kejadian pada awal pagi sebelum itu dan ganja ini pula dipercayai diperoleh dari negara jiran untuk dipasarkan di negara ini,” katanya.
Muhammad berkata, suspek terpaksa melarikan diri meninggalkan kereta itu disebabkan ia mengalami kerosakan pada enjin serta ‘bumper’ kereta itu pula sudah pun tertanggal apabila suspek gagal mengawal kenderaan dan terjunam ke dalam longkang di kebun buah-buahan di situ.
“Kita mengesyaki bahawa bekalan ganja itu menjadikan Perlis sebagai transit serta laluan masuk bagi dadah berkenaan dan ia kemudian akan dibawa ke arah kawasan selatan tanah air untuk dipasarkan.
“Jumlah keseluruhan ganja yang dirampas ini boleh digunakan oleh seramai 280,000 penagih dadah di negara ini dan gerakan memburu suspek kini giat dijalankan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.