Polis percaya suspek kes pembunuhan Jong Nam masih di kedutaan Korea Utara
Astro Awani
Mac 7, 2017 16:23 MYT
Mac 7, 2017 16:23 MYT
GEORGE TOWN: Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar memberitahu, pihaknya masih lagi mencari tujuh suspek yang dipercayai ada kaitan dengan pembunuhan abang tiri pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un pada 13 Feb lalu.
Setakat ini, empat daripada suspek terbabit sudah meninggalkan malaysia pada hari pembunuhan itu.
Bagaimanapun, menurut Khalid tiga yang lain, termasuk seorang pegawai di Kedutaan Korea Utara dan seorang pekerja syarikat penerbangan Air Koryo, dipercayai masih berada di Malaysia atau mungkin berada di kedutaan.
Katanya lagi, polis akan mengeluarkan waran mengikut seksyen 111 Kanun Keseksaan sekiranya mereka masih enggan menyerah diri bagi membantu siasatan kes tersebut.
LAPOR LANGSUNG: Krisis Malaysia - Korea Utara
"Kami percaya mereka berada dalam kawasan kedutaan itu. Kami akan meminta mereka tampil (menyerah diri) dengan menggunakan Seksyen 111 Kanun Acara Jenayah.
"Jika gagal berbuat demikian, kami akan mendapatkan waran tangkap bagi kedutaan itu dan kami sanggup tunggu walaupun jika ia mengambil masa lima tahun," katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Penguatkuasaan Dadah Antarabangsa (IDEC) - Rantau Timur di sini, pada Selasa.
Bagaimanapun menurut Khalid, polis tidak akan menyerbu kedutaan Korea Utara itu sebaliknya akan terus menunggu sehingga semua suspek menyerah diri.
Khalid berkata pihaknya telah meminta pihak berkuasa Korea Utara supaya menyerahkan kesemua suspek terbabit bagi membantu siasatan kes itu tetapi sehingga kini, pihak berkenaan tidak memberi kerjasama kepada Polis DiRaja Malaysia (PDRM).
Pada 13 Feb lepas, Jong-nam yang berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) bagi menaiki penerbangan ke Macau dihampiri dua wanita yang didakwa menyapu mukanya dengan tangan mereka yang dilumur bahan beracun.
Jong-nam meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.
#Malaysia
#Korea Utara
#krisis
#Diplomatik
#kim jong nam
#Ketua Polis Negaras
#KPN
#Khalid Abu Bakar