Polis Perak tumpas pengedaran dadah ketika musim PRU15

Abd Razak Mohd Ali
November 23, 2022 05:41 MYT
Mohd Yusri (dua, kiri) menunjukkan rampasan dadah jenis methamphethamine dengan anggaran seberat 10.1 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM713,300 pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak hari ini. - Foto BERNAMA
IPOH: Polis Perak berjaya menahan 10 pengedar dadah yang dipercayai cuba mengambil kesempatan ketika kesibukan musim Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Dalam beberapa serbuan yang dilakukan di sekitar Ipoh, polis turut merampas beberapa jenis dadah yang beratnya lebih 13 kilogram.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, dadah-dadah jenis ketamin, ganja dan methamphetamine itu boleh digunakan kira-kira 23,000 penagih di sekitar Ipoh.
"Kesemua kes ini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman mandatori gantung sampai mati.
"Yalah mungkin dalam kesibukan kita dalam menghadapi pilihan raya ini, mereka mungkin mengambil kesempatan untuk menjalankan pengedaran aktiviti dadah ini tadi walaupun begini, pihak kita dapat menghidu kegiatan-kegiatan mereka ini dengan menangkap mereka ini," katanya.
Beliau bercakap dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di Ipoh, pada Rabu.
Menurutnya, dalam kes pertama kira-kira jam 8 malam 13 November lalu, polis menahan seorang lelaki berusia 40 tahun di Kampung Rapat dan merampas dadah jenis ketamin lebih satu kilogram yang bernilai RM151,350 di dalam sebuah kereta.
Dalam kes kedua pula, katanya, pada 14 November, polis menahan seorang lelaki berusi 31 tahun di Buntong dan seorang lagi lelaki berusia 26 tahun di Lim Garden serta merampas ganja seberat 2.341 kilogram bernilai RM37,050.
Dalam kes ketiga pula, ujarnya, polis menahan enam lelaki dan seorang perempuan berusia antara 26 hingga 48 tahun dalam dua serbuah di kawasan Sunway City kira-kira jam 1 pagi Selasa dan merampas 10.19 kilogram dadah jenis methamphetamine yang dianggarkan bernilai RM713,300.
Beliau menambah, polis turut menyita pelbagai jenis harta termasuk dua buah motosikal, sebuah kereta, wang tunai dan barang kemas.
#pengedaran dadah #Mohd Yusri Hassan Basri #sindiket dadah tumpas #polis perak