Polis Perak siap sedia sekiranya PRN diadakan

Bernama
Oktober 10, 2019 11:24 MYT
RAZARUDIN: Kita tak nampak ADUN DAP keluar parti, mereka cuma letak jawatan dalam parti tetapi masih sebagai ADUN. - Gambar fail
Polis Perak akan sentiasa bersiap sedia dalam menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya Pilihan Raya Negeri (PRN) Perak diadakan pada bila-bila masa.
Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain@Abd Rasid berkata, bagaimanapun pihaknya tidak nampak kemungkinan PRN akan berlaku dalam masa terdekat.
"Kita tak nampak ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) DAP keluar parti, mereka cuma letak jawatan dalam parti tetapi masih sebagai ADUN Malim Nawar (Leong Cheok Keng) dan ADUN Pokok Assam (Leow Thye Yih)," katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini, hari ini.
Razarudin diminta mengulas mengenai berita tular kononnya PRN Perak akan diadakan tidak lama lagi berikutan beberapa ADUN dari DAP akan keluar parti dan menjadi Bebas.
BACA: Tular PRN Perak akan diadakan, tidak benar - Nga
Berita tular itu turut disertakan dengan satu tangkap skrin sekeping surat bertarikh 23 Sept lepas daripada Jabatan Pendidikan Negeri kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri bagi membenarkan Suruhanjaya Pilihan Raya mengadakan lawatan amal tapak ke sekolah-sekolah sebagai pusat mengundi di dalam negeri ini.
Dalam perkembangan lain, Razarudin berkata, kertas siasatan berhubung kes melepaskan tembakan membabitkan seorang pegawai Pasukan Gerakan Am (PGA) Hulu Kinta di rumah tunangnya di Taman Merdeka di sini Ahad lepas, hampir siap sepenuhnya.
Kertas siasatan itu dijangka diserahkan kepada pengarah pendakwaan negeri, Isnin hadapan untuk tindakan selanjutnya.
"(Pegawai berkenaan) masih lagi direman selama tujuh hari sehingga 13 Okt ini," katanya sambil menambah kes itu disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan, kerana cubaan bunuh.
Dalam kejadian petang Isnin lepas, pegawai berpangkat Inspektor berusia 29 tahun itu, pergi ke rumah tunangnya yang berusia dalam lingkungan 20-an sebelum mereka bergelut dan suspek melepaskan tembakan yang terkena kaki anjing peliharaan tunangnya itu.
Pergaduhan itu dipercayai berpunca akibat masalah perhubungan.
-- BERNAMA
#ADUN #cubaan bunuh #DAP #keluar parti #kertas siasatan #letak jawatan #pergaduhan #pilihan raya negeri #PRN Perak #pusat mengundi #Razarudin Husain Abd Rasid #reman #sekolah #Suruhanjaya Pilihan Raya #tembakan #Tular #tunang
;