Polis Perak sedia minta JIPS siasat dakwaan salah laku Ketua Polis Daerah Manjung

Bernama
Januari 21, 2022 18:37 MYT
Datuk Faridalathrash Wahid berkata, siasatan itu perlu bagi mengenal pasti kesahihan maklumat yang ditularkan. - Gambar fail Astro AWANI
PADANG RENGAS: Polis Perak sedia meminta Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, untuk menyiasat dakwaan kononnya wujud salah laku membabitkan Ketua Polis Daerah Manjung, berkaitan jenayah judi haram seperti tular di media sosial semalam.
Ketua Polis Perak, Datuk Faridalathrash Wahid berkata, siasatan itu perlu bagi mengenal pasti kesahihan maklumat yang ditularkan.
"Saya tidak dapat nak sahkan. Mungkin tindakan habis-habisan dia (OCPD) banteras judi itu memberi kesan. Mungkin sebab itu orang tidak suka. Kalau betul yang tular itu, saya buka kepada JIPS untuk menyiasat.
"Yang saya boleh sahkan, Polis Daerah Manjung mengambil tindakan tegas terhadap aktiviti membanteras kegiatan haram seperti perjudian, pelacuran, kongsi gelap dan bitcoin.
"Kita sukar nak kesan maklumat tular kononnya anggota pegawai terlibat, jadi kena siasat jika betul," katanya selepas menyampaikan Khutbah Jumaat bertajuk 'Berwaspada Dengan Sindiket Penipuan' dan menyertai menghadiri program 'High Profile Policing' di Masjid Jamek Al-Marbawi, Lubuk Merbau di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai dakwaan sebuah akaun Twitter yang memaparkan gambar dan maklumat, kononnya Ketua Polis Daerah Manjung, ACP Noor Omar Sap
pi terlibat dalam sindiket kedai judi. - BERNAMA
#Ketua Polis Daerah Manjung #salah laku #judi haram #Faridalathrash Wahid
;