Polis Perak sedia hantar anggota dan pegawai ikuti kelas Bahasa Inggeris

Bernama
Januari 13, 2020 07:52 MYT
RAZARUDIN: Kita juga akan tawarkan kelas bahasa kepada pegawai dan anggota polis, terutamanya yang berkhidmat di bahagian lapangan. - Gambar fail
Polis Kontinjen Perak bersedia menghantar pegawai dan anggota terutama yang bekerja di lapangan mengikuti kelas Bahasa Inggeris sebagai usaha untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 (VM2020).
Ketua Polis Perak Datuk Razarudin Husain berkata bagi tujuan itu, pihaknya akan bekerjasama dengan rakan strategik seperti pihak universiti dan badan bukan kerajaan (NGO).
"Kita akan usahakan perkara berkenaan dengan keadaan dan keperluan yang ada kita akan memanggil sahabat daripada universiti dan NGO.
"Kita juga akan memberi tawaran (kelas bahasa) kepada pegawai dan anggota terutamanya yang berkhidmat di bahagian lapangan," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Serah Terima Tugas jawatan Timbalan Ketua Polis Perak di Mes Pegawai Kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini pada Isnin.
Pada Ahad, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata pegawai dan anggota polis yang bertugas di lokasi tumpuan pelancong sekitar ibu kota akan dihantar mengikuti kelas Bahasa Inggeris bagi membantu mereka memberi perkhidmatan terbaik kepada pelancong sempena VM2020.
Terdahulu, pada majlis semalam, Razarudin menyaksikan majlis serah terima tugas antara Timbalan Ketua Polis Perak Datuk Lim Hong Shuan dengan pemangku jawatan itu, Datuk Mazlan Santarai yang merupakan Ketua Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak.
Lim, bersara wajib pada usia 60 tahun selepas berkhidmat di dalam PDRM selama 35 tahun.
Bekas Ketua Penolong Pengarah (Pematuhan) Bahagian Pematuhan Standard Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman itu dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Perak pada 26 Mac 2019.
-- BERNAMA
#Badan Bukan Kerajaan #bekerja di lapangan #integriti #kelas Bahasa Inggeris #kerajaan #Lim Hong Shuan #lokasi tumpuan pelancong #Mazlan Lazim #NGO #PDRM #pelancong #polis #Polis Kontinjen Perak #rakan strategik #Razarudin Husain #universiti #VM2020
;