Polis Perak rampas dadah RM13.7 juta, sita harta RM3.7 juta

Abd Razak Mohd Ali
Jun 15, 2020 12:07 MYT
Antara dadah yang dirampas dalam operasi bermula Januari hingga 12 Jun lalu. Gambar/ Astro AWANI
Polis Perak berjaya merampas dadah yang dianggarkan bernilai RM13.7 juta dalam operasi di seluruh negeri ini bagi tempoh Januari hingga 12 Jun lalu.
Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Goh Boon Keng, berkata dalam tempoh sama juga, seramai 3,990 orang diberkas kerana pelbagai kesalahan berkaitan dadah dengan harta bernilai RM3.7 juta disita.
"Daripada jumlah tangkapan itu, 2,255 adalah kerana memiliki dadah, bekalan (887), langkah-langkah pencegahan dan kawalan (50) manakala urin positif (798).
"Mengenai rampasan dadah pula, kami telah merampas syabu sebanyak 94.6 kilogram (kg) bernilai kira-kira RM4.8 juta; ketamin (11.3kg) (RM1.7 juta); pil ecstacy sebanyak 185,741 biji (RM5.5 juta); pil yaba (218 biji) (RM2,180) dan pil Eramin 5 (840 biji) (RM12,600).
"Selain itu, polis turut merampas ganja seberat 3.9 kg (RM49,000) dan heroin (39 kg) (RM1.6 juta)," katanya pada sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di Ipoh pada Isnin.
#Dadah #IPD Ipoh #ipk perak #Ipoh #narkotik #penagih #pengedar dadah #Perak #polis #polis perak #rm13 7 juta #sita #tangkapan
;