Polis Perak rampas 500kg dadah, tangkap 12,685 orang tahun ini

Abd Razak Mohd Ali
November 24, 2023 14:00 MYT
Pada sidang media di IPK Perak di Ipoh hari ini, Mohd Yusri (kanan) berkata, dalam Op Tapis Khas tiga hari bermula Isnin, polis menyerbu 23 sarang penagih di seluruh negeri dan menahan 486 orang atas pelbagai kesalahan dadah. - Foto Astro AWANI
IPOH: Polis Perak berjaya merampas hampir 500 kilogram dadah serta lebih dua juta biji pil Eramin 5, Yaba dan Ecstacy sejak Januari hingga 20 Nov tahun ini.
Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, dalam masa sama, polis turut menahan 12,685 orang atas pelbagai kesalahan dadah sepanjang tempoh tersebut, yang dikatakan paling ramai berbanding negeri-negeri lain.
Menurutnya, nilai rampasan keseluruhan dadah adalah RM49 juta, di samping sitaan harta lebih RM7.7 juta.
“Kita mempergiatkan dan mengaktifkan risikan untuk mengenal pasti, dan kita dapat maklumat dari orang ramai.
“Kita buat risikan dan siasatan, mengumpul maklumat di seluruh negeri Perak, port-port atau pun tempat-tempat penagihan dadah.
“Jadi, mungkin usaha-usaha yang kita buat terlampau agresif dan kerap, memang banyak jumlah tangkapan ataupun rampasan kita lakukan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai kejayaan Op Tapis Khas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.
Jelasnya, usaha itu diperhebatkan sejak dua tiga tahun kebelakangan ini bagi memastikan rakyat negeri Perak, khususnya golongan belia, bebas daripada pengaruh dadah.
Menurutnya, dalam operasi tiga hari bermula Isnin, polis menyerbu 23 sarang penagih di seluruh negeri dan menahan 486 orang yang terlibat dalam pelbagai kesalahan dadah.
Katanya, antara sarang penagih itu ialah di skim-skim Felda, Felcra, kawasan perumahan dan jeti nelayan.
Menurut Mohd Yusri, operasi turut merampas pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM55,000 dan menyita sebuah kereta, tiga motosikal serta wang tunai, keseluruhannya berjumlah RM22,500.
Katanya, operasi yang melibatkan 283 anggota termasuk 35 pegawai kanan polis itu, turut berjaya menangkap 15 individu kategori orang yang dikehendaki.
#Dadah #polis perak #Mohd Yusri Hassan Basri #op tapis khas
;