Polis Perak perjelas Ops 'jaga tol'
Bernama
Mei 11, 2021 07:14 MYT
Mei 11, 2021 07:14 MYT
IPOH: Polis Perak semalam menjelaskan operasi pemeriksaan dan pemantauan di plaza tol yang dijalankan mereka, adalah bagi mengelakkan berlakunya kesesakan selain mengesan salah guna permit kebenaran perjalanan.
Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pelaksanaan operasi itu dikenali sebagai Projek Rintis Op COVID-19 di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) itu, akan menempatkan anggota polis di setiap plaza tol hala masuk untuk membuat pemeriksaan dan memantau kadar bayaran tol.
"Sebelum pengguna menyentuh kad Touch and Go, kita akan bertanya mereka dari mana dan hendak ke mana. Kemudian, kita akan sahkan menerusi mesin pengimbas (sama ada betul atau tidak) untuk mengetahui kesahihan perjalanan.
"Kita sudah lakukan projek ini sejak dua hari lalu dan kita telah berjaya mengurangkan kesesakan lalu lintas, kerana terdapat empat lorong tol yang digunakan," katanya selepas melawat pemeriksaan SJR di Plaza Tol Ipoh arah Selatan semalam.
Jelasnya, projek ini adalah yang pertama di Ipoh dan di negeri Perak, dan ia akan dijalankan di tiga lokasi untuk kajian iaitu Plaza Tol Jelapang, Ampang dan di Simpang Pulai, yang mana operasi ini akan diperluaskan ke seluruh negeri bergantung kepada tahap kejayaan dan kesesuaiannya.
Mior Faridalathrash sebelum ini dilapor sebagai berkata, pihaknya akan melakukan strategi dalam membanteras pergerakan rentas negeri di beberapa plaza tol, khasnya sewaktu musim perayaan selain usaha mengekang penularan pandemik COVID-19 ke negeri ini.
Dalam pada itu beliau berkata, plaza tol merupakan lokasi yang selamat daripada panas dan hujan serta mempunyai kamera litar tertutup (CCTV), yang dapat membantu PDRM mengelakkan berlakunya salah guna kuasa atau tohmahan kepada pegawai yang bertugas.
"Setiap pegawai penguat kuasa akan berada di plaza tol PLUS dan kita boleh adakan pemeriksaan kalau hujan lebat. Jika di luar susah kita hendak adakan pemeriksaan kalau hujan, panas dan sebagainya. Selain itu, kita gunakan kemudahan CCTV untuk memantau apa yang berlaku di antara petugas dan orang ramai.
"Setakat ini juga kita belum mengesan penipuan yang dilakukan pengguna," jelasnya dan menambah sebanyak 12 kompaun telah dikeluarkan pada Isnin di seluruh negeri Perak, kepada mereka yang gagal mengemukakan surat rentas negeri serta mengarahkan mereka berpatah balik.
Sementara itu dalam kes berasingan, tindakan seorang lelaki mengeluarkan kata-kata berbaur lucah dan mengkritik kerajaan berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di laman sosial mengundang padah, apabila beliau ditahan di Batu Gajah pada Isnin.
Mior Faridalathrash berkata, lelaki yang menggunakan nama 'Apit Wan Lebo' di akaun Facebooknya itu, ditahan lebih kurang pukul 11 malam namun telah dibebaskan dengan jaminan polis dua jam kemudian, selepas selesai merakam percakapan.
"Lelaki itu telah memuat naik video klip di laman sosial dengan menggunakan kata-kata lucah dan mengkritik kerajaan. Dakwaan lelaki berkenaan adalah tidak berasas sama sekali," katanya dan menambah kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.
-- BERNAMA
#polis
#jaga tol
#rentas negeri
#operasi
#Perak
#plaza tol
#SJR
#Op COVID-19
#PLUS
#surat
#patah balik
#Apit Wan Lebo
#pegawai penguat kuasa
#projek rintis
#CCTV
#salah guna kuasa
#tohmahan
#Mior Faridalathrash Wahid