Polis Perak nafi lengahkan siasatan aduan orang awam

Bernama
Jun 7, 2024 22:30 MYT
Mohd Yusri telah mengarahkan pegawai dan anggota polis terlibat supaya sentiasa memberi kerjasama memaklumkan kepada pengadu sebarang perkembangan kes yang dilaporkan. - Gambar fail/Bernama
IPOH: Polis menafikan melengahkan siasatan sesuatu kes kerana proses itu ada kalanya mengambil masa disebabkan beberapa faktor, kata Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri.
Beliau berkata polis memandang serius dan bertindak segera terhadap setiap laporan dan aduan diterima, namun sebarang siasatan yang dilakukan perlu mengikut garis panduan dan lunas yang ditetapkan undang-undang.
"Siasatan polis terhadap kegiatan jenayah boleh terjejas apabila polis tidak dapat melengkapkan siasatan dengan sempurna ... menyebabkan siasatan kadang-kadang mengambil sedikit masa.
"Kita bukan nak siasat dengan cepat sahaja, tetapi perlu dapatkan seberapa banyak maklumat dalam sesebuah kes.
"Contohnya, kes jenayah komersial yang memerlukan bukti dokumen, saksi yang berada di luar negara yang perlu dipanggil untuk memberi keterangan," katanya pada sidang media selepas majlis Ujian Kemahiran Menembak Media Bersama Ketua Polis Perak 2024 di Lapang Sasar Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.
Mohd Yusri berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan seorang pengurus firma perkhidmatan keselamatan yang menyatakan pegawai penyiasat kes yang dilaporkannya iaitu berhubung jenayah pecah amanah pada Mac tahun lepas, masih belum mengemas kini perkembangan kes berkenaan.
Menurut laporan media Selasa lepas, Mohd Amiruddin Paul Abdullah, 50, meminta penjelasan polis Perak mengenai status terkini kes itu.
Mohd Yusri dalam pada itu, telah mengarahkan pegawai dan anggota polis terlibat supaya sentiasa memberi kerjasama memaklumkan kepada pengadu sebarang perkembangan kes yang dilaporkan.
Sementara itu, beliau berkata polis akan memanggil beberapa saksi bagi melengkapkan siasatan mengenai penyebaran video palsu memaparkan teks khutbah Jumaat di negeri ini pada 24 Mei lepas yang menyentuh isu boikot.
"Kita akan panggil seorang atau dua saksi lagi dalam masa terdekat bagi melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya.
Media sebelum ini melaporkan satu laporan polis telah dibuat terhadap penyebaran satu video yang didakwa bersifat hasutan serta tuduhan ketika mengulas isu khutbah terbabit.
-- BERNAMA
#bukti dokumen #garis panduan #melengkapkan siasatan #video palsu
;