Polis Perak minta orang ramai jangan bayar kepada 'ulat parkir'
Astro Awani
Januari 25, 2017 15:06 MYT
Januari 25, 2017 15:06 MYT
Polis Perak menasihatkan orang ramai supaya tidak membayar kepada 'ulat parkir' di negeri ini, khususnya di Ipoh walaupun 10 sen kerana ia dikhuatiri akan memudaratkan lagi aktivti haram itu.
Sebaliknya, Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kontinjen Perak, SAC T. Selvan berkata, orang ramai perlu melaporkan aktiviti itu kepada pihaknya secepat mungkin untuk diambil tindakan.
“Kita nasihatkan jangan bayar mereka ini, mereka ini pelanggar undang-undang dan jangan sesekali takut dengan mereka.
“Kalau mereka minta duit, cepat-cepat hubungi polis dan kita akan ambil tindakan. Kkita sebelum ini pun telah menangkap mereka ini dan telahpun dituduh di mahkamah,” katanya dalam sidang media selepas pelancaran Ops Payung di sekitar Ipoh pada Rabu.
Beliau memberitahu, dalam operasi tersebut seramai 160 pegawai dan anggota polis dan beberapa agensi penguatkuasaan telah ditempatkan di 44 lokasi tarikan pelancong seluruh negeri bersempena Tahun Melawat Perak 2017.
Menurut Selvan, operasi itu bertujuan untuk memastikan pelancong yang datang ke negeri ini dilindungi daripada sebarang jenayah dan kejadian yang tidak diingini.
“Kita mahu mereka ini rasa senang hati dan tidak takut untuk berjalan-jalan, kita akan letakkan anggota kita di 44 lokasi itu untuk bertugas.
“Ada sesetengah tempat itu, anggota-anggota kita akan bertugas dari pagi sehingga malam dan sebahagian lagi dari pagi sampai petang,” jelas beliau.
Beliau menambah antara 44 lokasi tumpuan itu merupakan sebahagian daripada tempat yang disenaraikan di dalam Lonely Planet.