Polis Perak cari penunggang motosikal ketuk pintu kereta dengan topi keledar

Abd Razak Mohd Ali
Julai 25, 2023 03:20 MYT
Polis sedang mengesan seorang penunggang lelaki yang dipercayai mengetuk pintu sebuah kereta dengan topi keledar ketika perselisihan faham, seperti yang tular di media sosial.
TAIPING: Polis sedang mengesan seorang penunggang lelaki yang dipercayai mengetuk pintu sebuah kereta dengan topi keledar ketika perselisihan faham, seperti yang tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan berhubung kejadian perselisihan faham dengan seorang penunggang motosikal.
Menurutnya, kejadian berlaku semasa mereka berada di Jalan Pokok Assam Tambahan, dekat sini, yang dipercayai berpunca daripada kesalahan lalu lintas.
“Dalam kejadian tersebut, penunggang motosikal secara tiba-tiba mengetuk kereta mangsa dengan menggunakan topi keledar sambil memarahi mangsa,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurutnya, tindakan suspek telah menyebabkan kerosakan pada bahagian pintu kereta.
Katanya, ekoran daripada insiden itu, pihak polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Beliau berkata, usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan bagi membantu siasatan.
#polis perak #penunggang motosikal #ketuk pintu kereta #topi keledar