Polis Perak bongkar taktik jual syabu guna paket jus mangga
Astro Awani
November 14, 2016 16:40 MYT
November 14, 2016 16:40 MYT
Polis Perak berjaya membongkar taktik licik terbaharu pengedar dadah menjual syabu dengan menggunakan paket serbuk minuman organik berperisa mangga.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perak, Asisten Komisioner V. R. Ravichandran dalam satu sidang media khas di Ipoh hari ini berkata taktik tersebut berjaya dikesan selepas pihaknya menangkap seorang ahli perniagaan lelaki berusia 28 tahun di Ipoh pada petang Ahad.
Menurutnya, dalam serbuan jam 5.45 petang itu, polis telah menahan lelaki terbabit di dalam sebuah kereta di sebuah premis perniagaan Greentown, Ipoh.
Katanya hasil pemeriksaan di dalam kereta tersebut pihaknya telah menjumpai 100 paket serbuk minuman yang diisi syabu dengan anggaran berat keseluruhan 1.29kg.
Turut dirampas bersama suspek adalah satu kad pengenalan dan dua pasport milik suspek yang berasal dari Sungai Besi, Kuala Lumpur itu.
Tambahnya, siasatan awal mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan lampau serta negatif ujian air kencing.
Suspek kini direman selama tujuh hari dan kes akan disiasat dibawah seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mandatori gantung sampai mati.