'Polis patut benarkan ceramah Dr Zakir' - Pemuda UMNO

Wan Syamsul Amly
April 11, 2016 21:49 MYT
KHAIRUL AZWAN: Polis patut benarkan ceramah Dr Zakir' - Gambar fail
Pergerakkan Pemuda UMNO mendesak polis untuk kembali membenarkan ceramah oleh penceramah agama dari India, Dr Zakir Naik yang dirancang diadakan di negara ini oleh beberapa penganjur, termasuk di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).
Naib Ketuanya, Khairul Azwan Harun berkata, pihaknya memandang serius terhadap halangan yang dibuat kerana ia mencemar prinsip kebebasan beragama di negara ini.
"Pemuda UMNO menganggap semua rakyat berhak mempraktikkan disiplin dan dakwah agama masing-masing selagi mana ia tidak melanggar undang-undang.
"Kita juga percaya ia menjadi tanggunjawab penuh pihak polis untuk menyediakan kawalan keselamatan dan ketenteraman awam tetapi bukan dengan mengambil pendekatan mudah dengan membatalkan ceramah tersebut," katanya kepada Astro AWANI.
Pada Isnin, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar memaklumkan ceramah Dr Zakir di UTeM pada 17 April ini dibatalkan.
Jelas Khalid, beliau dijangka terpaksa melupakan hasrat itu kerana majlis tersebut tidak boleh diteruskan demi ketenteraman awam dan sensitiviti agama di Malaysia.
BACA: Ceramah Dr Zakir Naik di UTeM tidak boleh diteruskan - Khalid
BACA: Isu Zakir Naik: 'Waspada pihak yang boleh cetus perbalahan agama' - Dr Subramaniam
Arahan itu turut disampaikan Khalid melalui akaun Twitternya.
Dalam pada itu, Khairul Azwan turut mengajak rakyat untuk lebih bersikap matang dan tidak mudah dipengaruhi oleh pergerakan-pergerakan badan bukan kerajaan (NGO) yang bersifat ekstremis.
"NGO begini yang telah menanam sifat benci dan ketakutan sehingga rakyat tidak boleh menilai kebaikan sesuatu perkara," jelasnya.
Dr Zakir yang memiliki penilaian kritis dalam soal perbandingan agama, dijangka menyampaikan ceramah berjudul Similarities Between Hinduism and Islam (Persamaan Antara Hindu and Islam) di UteM.
#Dr Zakir #Ketua Polis Negara #Khairul Azwan #Pemuda UMNO
;