Polis pantau, kawal pergerakan di Penjara Kajang
Afiezy Azaman
Ogos 23, 2022 19:46 MYT
Ogos 23, 2022 19:46 MYT
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melakukan pemantauan di Penjara Kajang bagi mengawal keadaan di sekitar kawasan tersebut.
Perkara itu dinyatakan Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan susulan Datuk Seri Najib Tun Razak dibawa ke penjara itu selepas keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan sabitan kesalahan bekas Perdana Menteri itu.
"Setakat ini polis buat kawalan dan pemantauan," katanya ringkas dalam satu kenyataan, pada Selasa.
Difahamkan kelibat penyokong Najib yang berada di sekitar Penjara Kajang telah meningkat.
Terdahulu, Astro AWANI melaporkan, kenderaan yang membawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, tiba di Penjara Kajang pada 6.05 petang tadi.
Beliau dibawa dengan kenderaan utiliti sukan (SUV) berwarna hitam dan diiringi kenderaan polis.
Najib dibawa ke Penjara Kajang selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atasnya.