Polis panggil Tommy Thomas, Jeyakumar rakam percakapan
Bernama
Oktober 18, 2022 21:45 MYT
Oktober 18, 2022 21:45 MYT
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas yang didakwa menyentuh isu berbaur perkauman dalam sebuah forum, bulan lepas, untuk dirakam percakapan.
Setiausaha PDRM Datuk Noorsiah Saaduddin berkata Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM) Dr Michael Jeyakumar Devaraj yang turut hadir dalam forum berkenaan juga akan turut dipanggil bagi membantu siasatan.
“Siasatan akan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman mengikut Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” menurutnya dalam kenyataan malam ini.
Sebelum ini, dilaporkan polis menerima aduan mengenai kenyataan Tommy dalam ucapannya di forum bertajuk Dark Forces Towards GE15 yang diadakan pada 17 Sept lepas anjuran Dewan Perniagaan Cina Kuala Lumpur dan Selangor di sini.
Kedua-duanya merupakan antara ahli panel forum itu.
-- BERNAMA