Polis panggil Shamsul Iskandar beri keterangan petang ini

Shuhada Abdul Kadir
Jun 14, 2019 19:01 MYT
Shamsul Iskandar (kanan) beramah mesra bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Hang Tuah Jaya di Ayer Keroh hari ini. --fotoBERNAMA
Polis memanggil Timbalan Menteri Industri Utama Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin untuk memberi keterangan berhubung isu penyebaran video intim yang mirip seorang menteri Kabinet baru-baru ini.
Perkara itu disahkan sendiri Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu yang akan memberi keterangan berhubung pembabitan bekas setiausaha sulit kanan beliau, Haziq Abdullah Abdul Aziz yang turut dikaitkan dengan rakaman video itu.
Beliau berkata, pasukan polis dari Bukit Aman menghubungi pejabatnya pada Khamis dan meminta beliau hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka petang ini.
"Sepasukan polis Bukit Aman telah hubungi pejabat saya semalam dan meminta supaya saya dapat menghadirkan diri ke balai polis untuk memberikan keterangan dan bantu siasatan.
"Jadi, insyaAllah jam 6.30 petang ini saya akan hadir ke IPK Melaka untuk bersama membantu proses siasatan oleh pasukan polis yang dipimpin sendiri oleh pegawai kanan di Bukit Aman," katanya.
BACA: "Saya kenal Haziq dari jauh" - Azmin
Shamsul Iskandar berkata demikian ketika ditemui pada pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Parlimen Hang Tuah Jaya di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, di sini hari ini.
Pada Khamis, Kementerian Industri Utama menggantung tugas Haziq serta-merta dan memberi tempoh tiga hari kepadanya untuk menjawab surat tunjuk sebab kerana didakwa memburukkan imej dan reputasi kementerian.
BACA: Video Intim: Polis sahkan terima laporan Haziq
Tindakan itu dibuat beberapa jam selepas Haziq mempersoalkan kejujuran kerajaan Pakatan Harapan (PH) ekoran pemimpin kerajaan menuduhnya mempunyai agenda politik dengan pengakuannya itu.
Dalam pada itu, jelas Shamsul Iskandar, sehingga kini beliau masih gagal berhubung dengan Haziq sejak Selasa lalu.
#Bukit Aman #Haziq Abdullah Abdul Aziz #Haziq Aziz #IPK Melaka #menteri Kabinet #Pakatan Harapan #polis #Shamsul Iskandar Mohd Akin #siasatan #surat tunjuk sebab #video #video intim
;