Polis panggil dua Adun berhubung perhimpunan berhampiran Stesen Keretapi Alor Setar
Adie Sufian Zulkefli
Januari 23, 2021 16:51 MYT
Januari 23, 2021 16:51 MYT
ALOR SETAR: Polis mengesahkan memanggil dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) pembangkang bagi memberi keterangan Khamis lalu, berhubung kejadian perhimpunan di bekas tapak kuil di Stesen Kereta Api Alor Setar, di sini tahun lalu.
Dua Adun terbabit termasuk seorang belas Ahli Majlis Mesyuarat Negeri (EXCO) kanan, dipercayai menyertai perhimpunan pada 6 Julai 2020, bagi membantah kerja merobohkan kuil oleh pihak berkuasa.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir, berkata kedua-dua individu terbabit disiasat mengikut Seksyen 5 Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012.
Katanya, setakat ini hanya dua individu berkenaan dipanggil bagi memberi keterangan dan membantu siasatan kes yang masih dilakukan polis.
Siasat mengikut Seksyen 5 APA 2012 kerana terlibat dalam satu perhimpunan di bekas tapak kuil dekat Stesen Kereta Api Alor Setar.
Difahamkan, kedua-dua Adun berkenaan dibebaskan selepas memberi kenyataan.
Dalam kejadian 9 Julai tahun lalu, sebuah kuil berhampiran Stesen Kereta Api Alor Setar dirobohkan pihak Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) kerana didirikan di atas tanah milik kerajaan.
Sebelum itu MBAS sudah mengeluarkan empat notis sejak 10 Januari 2019 sehingga 17 Jun tahun lalu, meminta kuil berkenaan dipindahkan pihak pengurusan kuil.
Sebelum kerja meroboh dilakukan, MBAS juga dikatakan sudah menyerah notis pengusiran beberapa minggu lebih awal selepas mendapati kuil berkenaan dibina di atas rizab jalan dan mengganggu lalu lintas.
#Adun pembangkang dipanggil
#perhimpunan
#tapak kuil di Stesen Kereta Api Alor Setar
#Adun Disiasat
#Alor Setar