Polis panggil Armada PPBM bantu siasatan kekecohan Nothing To Hide 2.0 - Khalid

Bernama
Ogos 16, 2017 12:47 MYT
Khalid berkata, polis akan memanggil penganjur Nothing To Hide 2.0 kerana bersikap mengambil mudah dan dilihat tidak melaksanakan tanggungjawab dalam mengawal keselamatan. - Gambar fail
Polis sudah menahan 13 suspek dan akan memanggil penganjur program Nothing To Hide 2.0 untuk membantu siasatan berhubung kekecohan yang berlaku Ahad lalu.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis sudah memulakan siasatan kes itu dan menegaskan bahawa aspek keselamatan adalah di bawah tanggungjawab penganjur.
"Mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012, penganjur bertanggungjawab terhadap keselamatan (orang) yang hadir dan keselamatan tempat acara itu diadakan dan dalam akta itu jelas.
"Polis akan panggil penganjur kerana ambil mudah dan dilihat tak laksana tanggungjawab (kawal keselamatan)," katanya kepada pemberita selepas istiadat penganugerahan pingat kedaulatan negara kepada 158 pegawai dan anggota di Bukit Aman hari ini.
Program Nothing To Hide 2.0 anjuran Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang berlangsung di Dewan Raja Musa, Seksyen 7, Shah Alam bertukar kecoh apabila dicemari insiden balingan kasut, kerusi, botol air serta suar daripada beberapa individu yang hadir sehingga mencetuskan panik dan berlaku kejadian bertumbuk sesama sendiri .
Kekecohan berlaku pada kira-kira 5.10 petang ketika Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad sedang menjawab soalan berhubung tragedi Memali di Baling, Kedah pada September 1985.
-- BERNAMA
#Akta Perhimpunan Aman 2012 #ARMADA #keselamatan #Ketua Polis Negara #Khalid Abu Bakar #Mahathir Mohamad #Nothing To Hide 2 0 #Parti Pribumi Bersatu Malaysia #polis #PPBM #siasatan #suspek
;