Polis Pahang rekod 45 kes guru jadi mangsa penipuan babitkan kerugian RM1.2 juta

Bernama
Ogos 29, 2024 22:15 MYT
Yahaya berkata statistik itu menunjukkan penurunan berbanding 61 kes aduan jenayah komersial dalam kalangan pendidik yang diterima bagi tempoh sama tahun lepas melibatkan kerugian RM1.45 juta. - BERNAMA
KUANTAN: Polis Pahang merekodkan 45 kes guru yang menjadi mangsa penipuan melibatkan kerugian berjumlah RM1.2 juta dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini.
Bagaimanapun, Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata statistik itu menunjukkan penurunan berbanding 61 kes aduan jenayah komersial dalam kalangan pendidik yang diterima bagi tempoh sama tahun lepas melibatkan kerugian RM1.45 juta.
Beliau berkata kes penipuan itu antaranya membabitkan pelaburan, pembelian barang tidak wujud dan macau scam dengan sindiket turut menyasarkan mereka yang bersara.
"Secara keseluruhan, 1,228 kes penipuan melibatkan nilai kerugian RM59 juta dalam pelbagai sektor pekerjaan direkodkan hingga Julai lepas," katanya selepas merasmikan Seminar Cakna Anti-Scam, Kenapa Terus Jadi Mangsa Peringkat Negeri Pahang di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Afzan di sini hari ini.
Seminar itu bertujuan meningkatkan kesedaran dalam kalangan guru mengenai jenayah serta trend terbaharu penipuan bagi mengelak menjadi mangsa sindiket serta boleh dikongsi kepada para pelajar.
Sementara itu, mengulas perkembangan kes kematian seorang wanita di Indera Mahkota di sini pada 14 Ogos lepas, Yahaya berkata keputusan laporan bedah siasat mendapati terdapat tekanan pada bahagian tengkuk dan leher mangsa.
"Ada unsur jenayah dan kita klasifikasikannya sebagai kes bunuh," katanya menambah empat ahli keluarga wanita itu yang ditahan reman sebelum ini telah dibebaskan.
Suri rumah berusia 28 tahun itu pada mulanya dilaporkan hilang sebelum ditemukan oleh suaminya dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam bilik tidur rumahnya kira-kira 7.30 malam, pada 14 Ogos lepas.
Mangsa dilaporkan tinggal bersama suami warga China yang bekerja sebagai penyelia kilang, anak lelaki berusia tiga tahun dan adik ipar perempuan berumur lapan tahun.
-- BERNAMA
#Polis Pahang #guru #mangsa penipuan #Yahaya Othman
;