Polis P. Pinang yakin urus keselamatan, aliran trafik sepanjang persidangan ASEAN

Bernama
Januari 31, 2025 16:32 MYT
Hamzah berkata, polis P. Pinang melakukan persiapan rapi untuk memastikan kelancaran semua program, termasuk persidangan yang dijangka berlangsung bulan depan. - Gambar fail
BUTTERWORTH: Polis Pulau Pinang akan memberi tumpuan kepada pengurusan aliran trafik dan meningkatkan keselamatan sepanjang persidangan ASEAN yang berlangsung di negeri itu.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad, berkata pihaknya telah melakukan persiapan rapi untuk memastikan kelancaran semua program, termasuk satu persidangan yang dijangka berlangsung bulan depan.
"Kita mempunyai kemampuan menguruskan persidangan ASEAN dan dari segi penugasan anggota polis, saya jangkakan agak ramai tapi ia melibatkan kontinjen Pulau Pinang sendiri, setakat ini tiada bantuan daripada kontinjen lain," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas majlis advokasi sempena Op Selamat 23/2025 Tahun Baharu Cina Kontinjen Pulau Pinang di Plaza Tol Sungai Dua, arah Selatan hari ini.
Pulau Pinang akan menjadi tuan rumah kepada 13 mesyuarat utama sepanjang Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025, melibatkan perbincangan di peringkat kerja, pegawai kanan, dan menteri yang akan dijalankan oleh tujuh kementerian.
Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Pulau Pinang Datuk Abdul Kahar Abdullah dilaporkan berkata mesyuarat-mesyuarat itu meliputi pelbagai bidang kerjasama strategik antara negara anggota ASEAN merangkumi aspek keselamatan, ekonomi, pelaburan, perdagangan, pendidikan dan pembangunan belia.
Sementara itu, Hamzah berkata pihaknya akan berusaha meningkatkan tahap keselamatan bagi memastikan Pulau Pinang terus menjadi bandar paling selamat pada masa depan.
Beliau berkata walaupun statistik indeks jenayah bagi 2024 menunjukkan peningkatan 6.8 peratus berbanding 2023 iaitu daripada 3,599 kes kepada 3,845 kes, namun Pulau Pinang masih mencatatkan pencapaian yang lebih rendah daripada sasaran nilai ambang ditetapkan.
Hamzah mengulas laporan media berhubung Pulau Pinang mencatat kedudukan teratas sebagai bandar paling selamat di Malaysia berdasarkan Crime Index 2025 oleh Numbeo dengan skor indeks jenayah 30.3 dan indeks keselamatan 69.7.
-- BERNAMA
#polis #pulau pinang #Persidangan ASEAN #lalu lintas #keselamatan
;