Polis P. Pinang tingkatkan rondaan patuh SOP ekoran varian baharu COVID-19

Bernama
Disember 9, 2021 18:11 MYT
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain (kiri) beramah mesra dengan penduduk Chew Boon Aik, 45, ketika melakukan lawatan di Jeti Chew hari ini. - Foto BERNAMA
GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang meningkatkan rondaan di lokasi-lokasi tumpuan di negeri ini termasuk di tempat dan kelab rekreasi bagi memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Ketua Polis negeri Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata ketika ini terdapat lebih 100 pasukan pemantau pematuhan SOP membabitkan semua elemen rondaan digerakkan di seluruh negeri dan pihaknya akan menambah bilangan pasukan jika terdapat keperluan.
"Pihak polis di Pulau Pinang sentiasa menjalankan rondaan dan pemantauan secara berkala di kawasan tumpuan orang ramai dan tidak pernah berhenti bagi memastikan orang ramai mematuhi SOP, namun sejak kebelakangan ini kami meningkatkan rondaan berikutan terdapat varian baharu COVID-19.
"Jadi saya minta kerjasama orang ramai supaya jangan leka dan terus patuh SOP, kerana dengan pembukaan pelbagai sektor sekarang ini pasti melibatkan ramai orang, malah ketika ini juga ramai mula kembali bekerja, serta pelbagai aktiviti lagi untuk merancakkan ekonomi," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Jeti Chew, di sini hari ini.
Beliau mengulas arahan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mazlan Lazim yang mahu semua Ketua Polis Negeri melakukan pemantauan pematuhan SOP PPN di kelab rekreasi di negeri masing-masing.
Mazlan dilaporkan berkata demikian berikutan terdapat laporan perubahan lokasi parti persendirian dari premis hiburan ke kelab tersebut baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Mohd Shuhaily berkata selain pasukan pematuhan SOP, pihaknya termasuk beliau sendiri menerima maklumat atau aduan terus daripada orang ramai yang memaklumkan pelanggaran SOP di kawasan tumpuan pelancong termasuk kelab rekreasi.
"Saya sendiri turut menerima aduan terus daripada orang ramai dan beberapa pihak, jika ada (aduan) saya terus arahkan pasukan untuk membuat pemeriksaan bagi melihat sama ada mereka mematuhi SOP atau tidak," katanya.
Beliau berkata ketika ini tahap pematuhan SOP di Pulau Pinang adalah tinggi dan orang ramai dilihat mematuhi SOP walaupun beberapa kawasan tumpuan pelancong sentiasa dipenuhi orang ramai.
"Pihak polis yang membuat rondaan akan memberi nasihat terlebih dahulu kepada mereka yang berada di kawasan tumpuan dan jika masih ingkar baru kami keluarkan kompaun dan seterusnya menutup kawasan terlibat, namun setakat ini tiada lagi yang ditutup kerana kebanyakannya patuh arahan SOP," katanya.
Sementara itu, selain Jeti Chew, terdapat lima jeti lain membabitkan perkampungan terapung yang diduduki keluarga berketurunan Lim, Tan, Lee, Yeoh serta satu keturunan campuran dipanggil 'mixed clan jetty' (jeti keluarga campuran) dan semua jeti tersebut kini menjadi lokasi pelancongan di negeri ini.
-- BERNAMA
#polis pulau pinang #pematuhan SOP #varian baharu #COVID-19 #Omicron #PPN #rondaan #Mohd Shuhaily Mohd Zain
;