Polis P. Pinang rampas rokok seludup bernilai RM2.08 juta, tahan empat lelaki

Dewi Nur Harasha Alias
September 29, 2022 18:55 MYT
Polis merampas hampir dua juta batang rokok seludup bernilai RM2.08 juta termasuk cukai dalam serbuan berasingan di dua gudang penyimpanan rokok seludup di Bukit Mertajam, Isnin lalu. - Astro AWANI
GEORGE TOWN: Polis merampas hampir dua juta batang rokok seludup bernilai RM2.08 juta termasuk cukai dalam serbuan berasingan di dua gudang penyimpanan rokok seludup di Bukit Mertajam, Isnin lalu.
Dalam 'Op Kontraban' itu, polis turut menahan empat lelaki berusia lingkungan 40 hingga 55 tahun bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, kesemua suspek ditahan selepas pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang menyerbu sebuah gudang di Kawasan Perindustrian Ringan Permatang Tinggi, Bukit Mertajam pada jam 6.30 pagi.
Dalam serbuan itu, sejumlah rokok seludup dirampas sebelum polis menyerbu sebuah lagi gudang yang terletak di Taman Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Bukit Tengah, Bukit Mertajam.
Selain itu, 198 kotak besar berisi 9,990 karton rokok mengandungi hampir dua juta batang rokok seludup yang bernilai RM764,000 dirampas.
Nilai keseluruhan cukai rokok itu dianggarkan RM1.32 juta.
"Siasatan yang dijalankan mendapati kesemua yang ditahan berperanan sebagai penjaga gudang dan pemandu lori sejak setahun lalu, rokok seludup ini adalah untuk diedarkan di sekitar daerah Seberang Perai," katanya.
Menurut Mohd Shuhaily, sindiket tersebut dikesan menjalankan modus operandi dengan mendapatkan bekalan rokok seludup dari Lembah Klang sebelum dibawa ke gudang penyimpanan di negeri itu menggunakan lori dan mengedarkannya di sekitar Pulau Pinang.
"Apa yang kita nampak, lori rokok ini akan dibawa 300-500 meter dari pusat atau tempat penyimpanan sebelum lori ini ditinggalkan kemudian akan diambil oleh mereka yang kita tahan tempoh hari untuk dibawa dan disimpan di gudang penyimpanan. Operasi ini ada dua kali penghantaran dari Lembah Klang," jelasnya.
Tambah Mohd Shuhaily, sindiket tersebut dipercayai menjalankan kegiatan itu sejak setahun lalu.
Dalam serbuan itu juga, polis turut merampas sebuah lori dan empat kereta dipercayai milik kesemua suspek, yang nilai keseluruhannya berjumlah RM236,000.
Menurutnya empat lelaki yang berasal dari Selangor itu kini direman sehingga 11 Oktober ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
Mohd Shuhaily berkata sejak Januari lalu hingga September 2022, pihaknya tekah membuat sebanyak 61 serbuan dan menahan 75 individu yang terlibat dengan sindiket penyeludupan rokok seludup tanpa cukai membabitkan nilai rampasan RM3.037 juta.
#rokok seludup #Op Kontraban #Bukit Mertajam #polis pulau pinang #cukai
;