Polis P.Pinang pantau penggunaan e-skuter sekitar George Town

Bernama
April 20, 2022 05:13 MYT
Mohd Shuhaily ketika sidang media di George Town semalam. --fotoBERNAMA
BALIK PULAU: Polis Pulau Pinang menjalankan pemantauan secara berkala penggunaan e-skuter di negeri itu terutama di sekitar George Town, dekat sini demi keselamatan orang ramai.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata setakat ini pihaknya dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) tidak mengeluarkan sebarang lesen kepada pengendali aktiviti e-skuter di negeri itu.
"Anggota polis yang menjalankan pemantauan telah memberi amaran dan nasihat kepada pengendali skuter elektrik sewaan dan orang ramai agar tidak melakukan apa-apa kegiatan atau aktiviti yang boleh membawa kepada perkara yang melanggar peraturan dan kesalahan lalu lintas.
"Kami bimbang ia akan mendatangkan bahaya ke atas nyawa mereka sendiri dan keselamatan pengguna jalan raya yang lain, malah diingatkan bahawa penggunaan e-skuter adalah atas tanggungjawab mereka sendiri," katanya kepada pemberita selepas program berbuka puasa bersama petugas trafik di Teluk Kumbar, di sini pada Rabu.
Beliau berkata demikian mengulas penyebaran satu video tular di media sosial yang mendakwa sekumpulan remaja dilihat menunggang skuter secara berbahaya di Lebuh Pantai, dekat sini dalam kejadian pada 2.24 pagi, beberapa hari lepas.
Mohd Shuhaily berkata buat masa kini, e-skuter adalah dilarang di atas jalan raya dan ia merupakan kesalahan menurut Seksyen 54 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan pihaknya juga memberi nasihat kepada penyewa kenderaan mikromobiliti itu di bawah Seksyen 3(1) APJ 1987 memperuntukkan mana-mana orang dilarang menggunakan kenderaan mikromobiliti tertentu di atas mana-mana bahagian mana-mana jalan.
Sementara itu, dalam perkembangan lain beliau berkata pihak polis mengambil beberapa alternatif bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas yang teruk ketika waktu puncak dari Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu menghala ke Jambatan Pulau Pinang selepas menerima aduan orang ramai.
Katanya antaranya ialah menempatkan anggota trafik di lampu isyarat dan beberapa lokasi lain bagi melancarkan perjalanan dan memastikan pengguna jalan raya dapat sampai ke rumah sebelum waktu berbuka puasa sepanjang Ramadan ini.
"Menurut statistik polis, anggaran kenderaan di Jambatan Pulau Pinang ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu dan sebaliknya ketika waktu puncak (6.30 pagi hingga 9 pagi dan 5 petang hingga 8 malam) ialah 20,000 hingga 30,000 kenderaan.
"Kesesakan turut berlaku dari bulatan Bayan Baru hingga ke Teluk Kumbar dan sebaliknya dengan waktu puncaknya dari 7,000 hingga 8,000 kenderaan," katanya sambil menasihatkan pengguna jalan raya memandu secara berhemah.
-- BERNAMA
#e-skuter #Mohd Shuhaily Mohd Zain #kesesakan lalu lintas #polis pulau pinang
;