Polis Orang Asli pertama temui kem penempatan sementara Wang Kelian
Harits Asyraf Hasnan
April 17, 2019 14:40 MYT
April 17, 2019 14:40 MYT
Anggota polis warga Orang Asli atau dikenali sebagai Senoi Praak merupakan anggota polis pertama yang menemui lokasi kem penempatan sementara di Wang Kelian, Perlis.
Koperal Mat Ten, yang bertugas di Kompani B, Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor, Perak berkata pada 18 Januari 2015 beliau membuat rondaan bersama seorang lagi rakan setugasnya di kawasan Bukit Burma, Wang Kelian.
“Saya ternampak 'lorong tikus' iaitu satu jalan bukit ke jalan besar. Saya menjumpai pakaian seperti baju, seluar dan kasut yang ditinggalkan.
“Kemudian kami bertindak keluar daripada kawasan itu kerana telah lewat malam dan memaklumkannya kepada ketua saya,” katanya di hadapan tujuh anggota Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian, Perlis yang dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria.
Menyambung sesi keterangan awam yang bermula hari ini, Mat yang merupakan saksi pertama berkata dia kembali ke Markas Teknikal Pos Wang Kelian dan memaklumkan kepada pegawainya berhubung penemuan itu.
Keesokan pagi iaitu pada 19 Januari 2015, Mat ditemani Seksyen Komander, Sarjan Yusof Islam Hassan yang merupakan saksi kedua pendengaran awam itu menelusuri semula kawasan tersebut dan menjumpai satu laluan balak selepas menaiki cerun hampir 45 darjah ketinggian.
Dia akui terkejut apabila melihat sebuah kem penempatan selain pelbagai stok makanan.
“Kalau tengok pada bungkusan makanan itu terdapat tulis Siam (Thailand). Saya naik lagi ke atas dan menjumpai satu anak sungai tapi ada buih putih.
“Saya mencium bau air sungai tersebut seperti bau sabun. Saya nampak pula seorang wanita sedang membasuh pakaian di anak sungai tersebut dan seorang lagi lelaki sedang bermain telefon di dalam kawasan berpagar kawat ,” jelasnya.
Dia kemudian kembali ke pos kawalan dan memaklumkan perkara tersebut kepada pegawai bertugas.
Lalu sekumpulan sembilan anggota bersama seorang pegawai memasuki semula kawasan tersebut sekitar jam 2 petang pada hari yang sama untuk membuat tinjauan pada skala yang lebih besar.
Mat yang berjalan paling hadapan dalam kumpulan itu melihat beberapa individu di lokasi sama.
“Saya mendengar bunyi deringan telefon bimbit milik wanita sama yang mencuci pakaian pada sebelah pagi. Wanita itu yang secara tiba-tiba dilihat cemas, lantas menjerit ‘polis’,” katanya.
Lantas sekumpulan individu di kawasan itu lari lintang pukang meninggalkan kem tersebut.
Namun, mereka berjaya menahan enam individu yang berada dalam keadaan lemah dan tidak bermaya termasuk seorang yang fasih berbahasa Melayu.
#Koperal Mat Ten
#lelaki
#Orang Asli
#polis
#RCI
#siasatan
#Suruhanjaya Siasatan Diraja
#Wang Kelian