Polis nasihat sukarelawan patuhi SOP ketika bantu mangsa banjir

Bernama
Ogos 22, 2021 14:42 MYT
Polis berkata, pihaknya tidak mahu para sukarelawan berkeliaran di dalam zon merah dan menyebabkan terjadinya jangkitan atau penularan penyakit COVID-19, berikutan Kedah masih dalam Fasa Satu PPN. - Gambar fail
YAN: Polis menasihati sukarelawan yang berada di Yan bagi menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir, agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, walaupun mereka mempunyai niat yang baik, namun polis perlu melaksanakan penguatkuasaan sewajarnya jika mereka ingkar SOP yang ditetapkan.
Beliau berkata, pihaknya tidak mahu para sukarelawan berkeliaran di dalam zon merah dan menyebabkan terjadinya jangkitan atau penularan penyakit COVID-19, berikutan Kedah masih dalam Fasa Satu PPN.
"Hasrat mereka murni, datang dari jauh untuk membantu, ada yang datang dari Kuala Lumpur, Selangor tapi dalam masa sama kita tidak mahu penyakit ini menular," katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai kehadiran ramai sukarelawan daripada pelbagai badan bukan kerajaan ke daerah ini khususnya di kawasan yang terkesan banjir bagi menyampaikan sumbangan kepada mangsa.
Mazlan berkata pihaknya menyarankan sukarelawan yang ingin menyampaikan bantuan supaya mendaftar dengan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah yang akan menguruskan pengagihan sumbangan mereka.
Sementara itu, Mazlan berkata hari ini seramai 430 petugas, terdiri daripada pelbagai agensi, terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat dua lagi mangsa yang masih hilang dalam kejadian banjir ekoran fenomena kepala air, Rabu lepas.
"Dari segi petugas ini mencukupi, dari segi aset kita guna helikopter, dron dan bot marin untuk membantu dalam usaha mencari dan menyelamat. Setakat ini kita masih belum menemui dua mangsa yang hilang itu dan berharap mereka dijumpai segera," katanya.
-- BERNAMA
#banjir #mangsa #bantuan #sukarelawan #polis #PDRM #SOP #COVID-19 #pandemik
;