Polis nasihat semak nombor telefon panggilan yang diterima, elak jadi mangsa penipuan

Bernama
Januari 27, 2021 17:35 MYT
Seorang peniaga lemang mengalami kerugian sebanyak RM96,930 akibat terpedaya dengan pelaburan yang kononnya dijanjikan untung lumayan. - Gambar hiasan
MELAKA: Polis Melaka menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dengan panggilan atau mesej yang diterima melalui nombor telefon 011-2369 6711 yang dikesan terlibat dalam empat kes penipuan membabitkan pelaburan yang mencecah RM774,430.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka Supt E. Sundra Rajan berkata nombor telefon itu dikesan menerusi laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ yang dibangunkan oleh kerajaan bagi mengelak orang ramai menjadi mangsa penipuan.
Beliau berkata kes penipuan terbaharu yang diterima menggunakan nombor telefon berkenaan namun belum direkodkan di laman sesawang itu melibatkan seorang peniaga lemang yang mengalami kerugian sebanyak RM96,930 akibat terpedaya dengan pelaburan yang kononnya dijanjikan untung lumayan oleh sebuah syarikat perkapalan swasta sejak Jun tahun lepas.
"Wanita berusia 47 tahun dari Bukit Katil itu mula berurusan dengan suspek melalui panggilan telefon dan seterusnya menerusi WhatsApp dari talian 011-23696711 serta 011-26486178 yang menawarkan keuntungan lumayan dalam tempoh dua minggu berdasarkan wang yang dilaburkan.
"Peniaga wanita yang tertarik dengan tawaran itu kemudian memasukkan wang berjumlah RM96,930 sebagai bayaran modal dan lain-lain caj seperti 'stamping' ke tiga akaun bank berbeza yang diberikan suspek dalam tempoh Jun tahun lepas hingga 25 Jan tahun ini," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Sundra Rajan berkata setelah bayaran berkenaan dilakukan, wanita itu masih belum mendapat keuntungan yang dijanjikan namun suspek masih terus meminta sejumlah wang, dan dia akhirnya membuat laporan polis semalam apabila merasakan dirinya ditipu.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
BACA: AirAsia X beri amaran orang ramai waspada mesej penipuan di WhatsApp
-- BERNAMA
#polis #Melaka #kes penipuan #sindiket penipuan #pelaburan #panggilan telefon #PDRM
;