Polis nasihat penyokong parti bertanding tidak buat provokasi esok
Bernama
Ogos 3, 2018 14:33 MYT
Ogos 3, 2018 14:33 MYT
Polis mengingatkan penyokong parti yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis agar mematuhi undang-undang dan tidak melakukan sebarang provokasi semasa tempoh pengundian sehingga pengumuman keputusan esok.
Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Baharuddin Mat Taib berkata pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang cuba melakukan provokasi dan kekacauan.
"Kita telah menugaskan seramai 1,200 anggota polis untuk menghadapi sebarang kemungkinan esok. Saya jamin keselamatan pengundi adalah terjamin dan mereka (pengundi) boleh keluar mengundi dengan tenang.
"Selain anggota daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam dan Klang Selatan, penugasan esok turut dibantu oleh anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor dan Bukit Aman," katanya kepada pemberita selepas meninjau persiapan pusat penjumlahan undi di Dewan Tanjung Majlis Bandaraya Shah Alam, di sini hari ini.
Menurut Baharuddin yang juga jurucakap polis bagi PRK DUN itu, bagi memastikan kelancaran lalu lintas di tempat mengundi esok, pihaknya menempatkan anggota-anggota traffik di kawasan yang telah dikenal pasti.
"Pengguna jalan raya dinasihatkan mengikuti arahan anggota kami agar perjalanan pengundi untuk menunaikan tanggungjawab mereka dapat berjalan dengan lancar," katanya.
PRK DUN Sungai Kandis diadakan berikutan kematian penyandangnya Mat Shuhaimi Shafiei akibat kanser limfoma pada 2 Julai lepas.
Pada PRK berkenaan, calon PKR Mohd Zawawi Ahmad Mughni berdepan dengan calon BN Datuk Lokman Noor Adam dan calon Bebas, K. Murthy.
Ini merupakan PRK pertama diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-14.
-- BERNAMA
#Baharuddin Mat Taib
#Barisan Nasional
#N49
#pilihan raya kecil
#PKR
#PRK
#PRK Sungai Kandis
#provokasi
#pusat penjumlahan undi