Polis nafi tidak kawal lokasi pengkebumian Karpal, akan edar gambar

Astro Awani
April 22, 2014 17:22 MYT
Datuk Abdul Rahim Hanafi - Gambar Fail
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi menolak dakwaan pihaknya gagal menempatkan anggota polis bagi mengawal keadaan semasa hari pengkebumian mendiang Karpal Singh, di Dewan Sri Pinang pada Ahad.
Sebaliknya, Abdul Rahim berkata, pihaknya telah menempatkan anggota yang secukupnya di beberapa lokasi bagi mengawal keadaan lalulintas dan orang ramai yang hadir untuk memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Karpal.
Jelas Abdul Rahim, lebih 50 pegawai dan anggota telah ditugaskan selama empat hari dari tempoh mendiang Karpal Singh dibawa pulang ke rumahnya hingga hari pembakaran mayat Anggota Parlimen Bukit Gelugor itu, Ahad lalu.
“Pihak polis telah membuat yang terbaik kepada masyarakat. Saya ingin menafikan dakwaan pihak polis Pulau Pinang tidak menempatkan pegawai dan anggota polis di lokasi orang ramai menziarahi mendiang Karpal Singh.
“Saya akan edarkan gambar kepada semua sebagi bukti kami menjalankan tugas dan semuanya berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini berlaku,” kata Abdul Rahim.
Katanya, selain menjaga lalulintas, pihaknya turut menempatkan pegawai dan anggota polis di rumah mendiang di Jalan Utama, George Town serta dua balai polis bergerak di perkarangan Dewan Sri Pinang ketika mayat mendiang dibawa ke situ.
Abdul Rahim berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Derma Darah sempena Sambutan Peringatan Hari Polis ke-207 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang pada Selasa.
Beliau mengulas dakwaan Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang membidas polis yang didakwa gagal hadir ke Dewan Sri Pinang bagi mengawal keadaan lalulintas dan orang ramai seperti yang telah dirancang.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam satu kenyataan media berkata, kerajaan negeri akan menyiasat punca polis tidak hadir pada hari pengkebumian Karpal Singh di Dewan Sri Pinang, George Town, pada Ahad.
Lim berkata kegagalan polis berada di situ bagi mengawal kebanjiran orang ramai yang hadir menyebabkan sebilangan besar mereka tidak dapat memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Karpal.
Karpal Singh, 74, maut dalam satu kemalangan jalanraya di kilometer 306.1, Lebuhraya Utara Selatan, berhampiran Gua Tempurung, Kampar, Ipoh, pada jam 1.10 pagi, Khamis lalu.
Turut maut dalam kejadian itu, pembantu peribadinya, Michael Cornelius.
#Abdul Rahim Hanafi #Karpal Singh #pengkebumian #polis #pulau pinang #tolak dakwaan
;