Polis nafi tidak ikut SOP operasi lima lelaki ditembak mati

Bernama
Ogos 20, 2013 17:47 MYT
Polis Pulau Pinang menafikan dakwaan anggota keluarga lima geng kongsi gelap yang mati ditembak dalam kejadian berbalas tembakan awal pagi semalam, bahawa anggota keselamatan yang terlibat dalam operasi itu tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP).
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi sebaliknya berkata pihaknya mengikuti SOP yang ditetapkan sebelum mengambil sebarang keputusan dalam operasi itu.
"Mengenai dakwaan bahawa polis melepaskan lebih 30 tembakan ke arah suspek tanpa perkenalkan diri, itu tidak benar. Kita perkenalkan diri sebelum masuk ke rumah itu tetapi tidak dijawab dan sebaik masuk mereka terus melepaskan tembakan ke arah polis.
"Kita bertindak balas mengikut SOP dan hanya beberapa tembakan sahaja dilepaskan dan mengenai mereka, bukan seperti yang didakwa pihak berkenaan (keluarga suspek)," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perjumpaan Bersama Petugas Op Selamat 3/2013 di sini hari ini.
Akhbar hari ini melaporkan bahawa keluarga lima lelaki berkenaan tidak berpuas hati terhadap tindakan polis yang menembak suspek secara bertubi-tubi dan mendakwa ia tidak mengikut SOP.
Dalam kejadian itu polis menembak mati lima anggota kumpulan kongsi gelap yang dipercayai pembunuh upahan yang dikehendaki polis kerana terbabit dalam kes bunuh dan cubaan bunuh di Pulau Pinang, Kedah dan Negeri Sembilan.
Abdul Rahim turut menafikan khabar angin mengenai saki baki anggota geng kongsi gelap itu cuba menyerang polis kerana marah dan ingin membalas dendam dengan tindakan anggota keselamatan yang menembak mati rakan mereka.
"Setakat ini kita memang tidak ada maklumat mengenai perkara itu dan saya percaya ia hanya khabar angin, tetapi polis akan mengambil langkah berjaga-jaga.
"Jika mereka balas dendam, kita sebagai pegawai dan anggota keselamatan akan bertindak, polis tidak akan biarkan begitu sahaja," katanya.
Sementara itu katanya polis menerima empat laporan daripada keluarga lima lelaki berkenaan yang mahu diadakan inkues berhubung kematian suspek.
"Kita terima laporan mereka dan akan siasat mengenai laporan polis itu. Berhubung mahu mengadakan inkues, itu bukan keputusan polis, mereka (keluarga suspek) boleh mohon," katanya.
#Datuk Abdul Rahim Hanafi #prosedur operasi standard
;