Polis nafi tiada kelulusan permit untuk perhimpunan mega Palestin

Bernama
Februari 27, 2024 07:10 MYT
ASHARI: IPD Wangsa Maju telah mengadakan perjumpaan dengan penganjur Mega Rakyat Demi Palestin pada Khamis lepas di mana mereka dinasihat mengemukakan pemakluman dan permohonan permit. - Gambar fail BERNAMA
KUALA LUMPUR: Polis menafikan bahawa tiada kelulusan permit dikeluarkan untuk program Perhimpunan Mega Rakyat Demi Palestin seperti yang dimaklumkan oleh Sekretariat Solidariti Palestin (SSP) menerusi laporan sebuah portal berita.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintenden Ashari Abu Samah berkata setakat semalam, pihak penganjur masih gagal mengemukakan sebarang pemakluman dan permohonan.
"Bagaimanapun, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju telah mengadakan sesi perjumpaan bersama pihak penganjur Mega Rakyat Demi Palestin pada Khamis lepas.
"Hasil perjumpaan tersebut, pihak penganjur telah dinasihat untuk mengemukakan pemakluman dan permohonan permit kepada pihak IPD Wangsa Maju," menurutnya dalam kenyataan malam tadi.
Beliau berkata justeru itu, pihak polis menasihati orang ramai agar tidak berkumpul atau mengadakan sebarang perhimpunan tanpa kebenaran.
"Tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana pihak yang tidak mematuhi peraturan atau melanggar undang-undang," katanya.
-- BERNAMA
#Perhimpunan Mega Rakyat Demi Palestin #perhimpunan #Palestin #polis
;